PKR bina Jalan Keadilan untuk penduduk Betong
Penduduk rumah panjang Kampung Lempaong, Betong kini dapat memikmati sebuah jalan perhubungan yang selesa dan selamat dengan adanya 'Jalan Keadilan'.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata jalan selesa dan selamat itu dibina bagi kemudahan harian penduduk rumah panjang sepanjang lapan kilometer dengan kos RM60,000.
Malah, kata Izzah kerja-kerja pembinaan projek fasa kedua itu sudah dimulakan sejak awal tahun ini.
"Pilihanraya atau tidak - menang atau tidak - bukan alasan untuk tidak meneruskan mengubah nasib anak tempatan.
"PKR dan MYCHANGEMAKER mengajak semua rakyat Malaysia menyertai kami dalam usaha memberi perkhidmatan berteraskan keilhlasan bukan bersyarat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.
Menurunyat, mereka turut berjaya memasang 200 lampu solar di hampir 114 buah rumah panjang di sekitar Ba'Kelalan dengan jarak sejauh 285 kilometer daripada bandar Kuching.
"Kami berjalan kaki sejauh 11.2 kilometer mengharungi 22 bukit, empat sungai dengan kedua-duanya tidak mempunyai jambatan dan di situ kami mengenalpasti beberapa masalah penduduk tempatan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua menyatakan rasa kecewa parti itu dengan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai.
Ini berikutan terdapat perbezaan antara Semenanjung dengan Sabah Sarawak yang disifatkannya sebagai tidak seiring semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Menurut Tian Chua, selepas 53 tahun Sarawak diperintah BN rakyatnya berhak untuk mendapat akses infratruktur sama seperti Semenanjung.
"Kekecewaan kita adalah kami telah menuntut tidak ada perbedaan dan jurang antara gaji minima di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.
"Kita adalah dalam satu negara dan tidak sepatutnya diturunkan nilai pekerja di mana-mana wilayah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.
Melalui PGM 2016 kadar gaji minimum ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia sementara RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.
Mengulas lanjut, Tian berkata pihaknya juga akan membawa perkara tersebut ke sidang Parlimen akan datang.
Katanya, ini kerana PKR tidak pernah mempertikaikan kuasa dan hak Sarawak sebaliknya mempertahankan serta mahu autonomi dipertingkatkan sekaligus menjawab Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, sentimen yang mengatakan PKR tidak menghormati Perjanjian Malaysia sering digunakan sedangkan mereka mahukan penyatuan ketiga-tiga wilayah itu.
"PKR tidak pernah mempertikai hak, kuasa-kuasa Kerajaan Sarawak dalam isu imigresen, penawaran tenaga kerja dan pentadbiran negeri.
"Malah kita sentiasa pertahankan supaya autonomi yang telah dijanjian dalam Perjanjian Malaysia 1963 ini dipertingkatkan dan kekayaan royalti minyak dinaikkan sehingga 20 peratus," katanya.
PGM 2016 akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

