Angkatan Karyawan Alternatif (AKAR), sebuah kumpulan seniman independen akan menganjurkan malam kebudayaan alternatif sebagai menghargai sumbangan aktivis reformasi, terutama yang pernah ditahan kerana memperjuangkan reformasi sepanjang tempoh enam tahun lalu.

Pengarah program tersebut, Zulkifli Anwar berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi tetamu khas pada malam tersebut yang akan diadakan di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 13 Mac depan.

"Datuk Seri Anwar telah mengesahkan kehadirannya dan beliau dijangka berbicara mengenai reformasi dan kebudayaan serta menyanyikan beberapa buah lagu yang digelar lagu-lagu dari penjara," katanya yang lebih dikenali sebagai Zunar.

Katanya, majlis tersebut yang akan bermula pada jam 8.30 malam dan diadakan dengan sokongan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat akan diisi dengan lagu-lagu perjuangan, puisi, sajak serta seloka yang mengandungi unsur-unsur kritikan.

Pengarah filem dan aktivis pelajar, Hishamuddin Rais akan mempersembahkan semula teater satira yang popular sekitar tahun 2000, 'Teater Tok Ampoo' dengan olahan baru, sesuai dengan suasana masayarakat dan isu-isu semasa hari ini.

Mengikut buku program yang disediakan, sasterawan negara, Shahnon Ahmad akan menyampaikan sajak terbaru beliau, manakala penyajak dan aktivis teater terkemuka, Dinsman akan menyampaikan sajak-sajak popularnya termasuk "Macam Orang Gila".

Bekas tahanan reformasi

Turut membuat persembahan pada malam itu yang bertemakan "Malam Saksi 14 April" ialah penyajak bersuara lantang, Shukri Abdullah; penyair muda, Hasmi Hashim: penyajak/pembawa seloka veteran, Pak Salleh Bakar, serta penyanyi utama kumpulan Blues Gang, Ito.

Selain itu, menurut Zunar, malam tersebut juga bertujuan mengumpul dan menghargai sumbangan aktivis reformasi terutama yang pernah ditahan, sama ada dalam lokap, penjara atau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memperjuangkan reformasi sepanjang tempoh enam tahun lalu.

Katanya, mereka yang pernah kena tahan, diminta mendaftar dengan sekretariat program tersebut untuk mendapatkan tiket percuma serta menghadiri sesi khas dengan Anwar pada malam sama.

Sehubungan itu, Zunar menyeru orang ramai, terutamanya penggemar seni alternatif supaya memberi sokongan untuk menjayakan malam seni yang julung kali diadakan itu dengan membeli tiket.

Tiket-tiket berharga RM 50 untuk tempat duduk depan, RM 25 dan RM 10 untuk tempat duduk belakang boleh didapati dengan menghubungi talian berikut: Fauzi (012-3733457), Sahrudin (016-6955671), Sabarudin (012-2245822), Cheah (019-3360685), Ramli (012-3343337), Jasmin (012-2345615), Marvin (Seremban) 012-6657329, Ani (Melaka) 012-606 7284 dan Omar Tan: 019-2059701. Tiket-tiket juga boleh didapati di pintu masuk pada malam tersebut.

Manakala mereka yang pernah menjadi tahanan reformasi diminta menghubungi segera seketeriat penganjur di alamat Parti Keadilan Rakyat, 75A Jalan Lawan Pedang 13/27, Tadisma Business Park, Shah Alam, Tel: 03-55133416/8477, Faks: 03-55129646 dan bercakap dengan Hasrul B Muhaini.

Mereka juga boleh menghubungi Badrul Hisham Shaharin (016-3242564) atau menghantar SMS ke talian tersebut dengan memberikan nama, alamat, nombor telefon untuk dihubungi dan tarikh peristiwa tangkapan.