Malaysiakini
BERITA

Makin ramai kanak-kanak gemuk di Malaysia

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Mei 2016, 8:29 pagi

Rakyat Malaysia dijangka lebih "berisi" atau bahasa kasarnya "gemuk" pada masa hadapan jika masalah pemakanan kanak-kanak dan remaja hari ini tidak dibetulkan segera.

Menurut kajian yang dijalankan Persatuan Pemakanan Malaysia, hampir 30 peratus (28.4 peratus) kanak-kanak dan remaja, berusia enam hingga 17 tahun, mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

"Masalah pemakanan kanak-kanak di kalangan pelajar sekolah ini amat besar dan kami menganggap kadar ini amat teruk.

"Jika tidak dibetulkan ketika mereka kanak-kanak, apabila mencecah usia 25 tahun, masalah itu akan kekal pada mereka," kata presiden persatuan itu Dr Tee E.Siong kepada Bernama.

Kajian yang melibatkan 8,705 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara itu, turut menunjukkan lebih ramai pelajar lelaki (32.9 peratus) mempunyai berat badan berlebihan berbanding pelajar perempuan (24.7 peratus).

Kajian itu juga mendapati seorang daripada empat kanak-kanak tidak mengambil sarapan pagi sekaligus menunjukkan kurangnya keprihatinan ibu bapa terhadap diet anak mereka.

Sikap ibu bapa lepas tangan

Tee berpendapat masalah ini berpunca daripada sikap ibu bapa yang cenderung untuk "lepas tangan" dengan alasan sibuk bekerja.

"Mereka biarkan anak mereka makan apa sahaja yang mereka suka di kantin, sementara di rumah, kononnya mereka tidak ada masa untuk menyediakan diet yang tepat.

"Tidak kurang juga yang serahkan kepada datuk nenek atau orang gaji untuk memberi makan kepada anak," luah Tee.

Faktor lain yang menyebabkan masalah ini ialah kurangnya aktiviti fizikal.

Menurut Dr Tee, apa yang merungsingkan adalah masalah berat badan berlebihan ini berlaku di bandar dan di luar bandar.

"Jika kita fikir di luar bandar kanak-kanak lebih bebas dan mempunyai lebih ruang untuk bermain, sebenarnya tidak juga.

"Sebenarnya zaman ini, sekolah dan ibu bapa lebih mementingkan akademik," katanya.

Beliau menambah jadual kanak-kanak diisi padat sepanjang hari. Selesai waktu persekolahan rasmi, mereka perlu pula ke kelas tambahan sehingga tiada masa untuk bermain atau bersukan.

Ini turut disebabkan waktu bekerja ibu bapa. Ramai yang tidak dapat pulang awal maka perlu memastikan anak-anak berada di bawah pengawasan orang dewasa.

Dr Tee juga tidak menolak kekangan untuk bermain bebas di luar turut bersangkut-paut dengan isu keselamatan.

Bagaimanapun menurut Dr Tee kesibukan bukanlah alasan untuk tidak mengambil berat soal pemakanan anak.

"Ibu bapa dan penjaga haruslah meluangkan masa menyediakan makanan seimbang untuk anak serta mendidik mereka mengamalkan diet dan cara hidup yang sihat," nasihat beliau kepada ibu bapa.

Masalah bantut

Sementara itu masalah bantut (stunting) dan susut berat badan (wasting) dalam kalangan kanak-kanak negara ini masih wujud.

Menurut wakil UNICEF Malaysia Marianne Clark-Hattingh, Malaysia sebuah daripada negara di Asia Tenggara yang menghadapi kedua-dua masalah pemakanan iaitu masalah berat badan berlebihan dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Memetik statistik terkini daripada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015), Clark-Hattingh berkata lebih tujuh peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun dikenalpasti mengalami masalah berat badan berlebihan.

Kajian yang sama juga mendapati lapan peratus kanak-kanak dalam kumpulan yang sama menderita masalah kekurangan nutrisi yang teruk.

"Punca berat badan berlebihan dan kekurangan nutrisi saling berkaitan. Risiko berat badan meningkat seiring dengan peningkatan kepada akses kepada makanan dan minuman tidak berkhasiat, makanan dengan kandungan lemak atau gula dan nilai nutrisi yang rendah, dan kurang aktif dan gaya hidup sedentari," katanya.

Malnutrisi pula melambatkan tumbesaran kanak-kanak, menyebabkan mereka lebih mudah sakit dan memberi kesan pada kebolehan kognitif, lalu menghalang mereka mencapai potensi sebenar.

"Pada masa yang sama obesiti juga boleh menggugat perkembangan kanak-kanak dan kualiti kehidupan, yang seterusnya membawa kepada komplikasi sekunder seperti diabetes Type 2, masalah kardio-vaskular, asma dan gangguan tidur," katanya.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.