Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosak poster calon antara 107 laporan diterima polis
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:14 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Perbuatan merosakkan poster calon adalah antara 107 laporan yang diterima polis berkaitan kesalahan yang didakwa dilakukan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 sejak hari penamaan calon 25 April lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata "setakat hari ini tiada kes besar (yang dilaporkan), cuma kesalahan kecil."

Ada juga laporan mengenai beberapa kes pertengkaran antara penyokong parti yang bertanding dalam pilihan raya ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program bantuan sumber manusia semua kontinjen polis di Sarawak sempena pilihan raya negeri di Kuching hari ini.

Beliau berkata pihaknya sehingga semalam telah membuka 66 kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

Muhammad Sabtu berkata kes-kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menyentuh program yang dilancarkannya itu, PDRM menghantar sebanyak 1,817 anggota bantuan daripada Pusat Latihan Polis Kuching, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan daripada Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dari seluruh negeri untuk membantu di semua pejabat polis daerah.

Ditanya sama ada terdapat kes perjudian haram melibatkan pertaruhan pilihan raya, beliau berkata setakat hari ini pihaknya tidak menerima apa-apa laporan.

"Kita ada pasukan Ops Cantas Khas untuk memantau aktiviti perjudian sepanjang pilihan raya dan mereka ini akan meneruskan pemantauan sehingga pilihan raya selesai," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS