Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH lapor 11 dakwaan kesalahan p'raya di Sibu

SARAWAK | BERSIH mengenal pasti 11 dakwaan kesalahan pilihan raya di Sibu semasa pilihan raya negeri Sarawak yang didakwanya turut melibatkan Ketua Menteri kerajaan sementara Tan Sri Adenan Satem dan empat lagi calon daripada kedua-dua belah pihak.

Ini adalah sebahagian daripada usahasama antara BERSIH 2.0 dan BERSIH Sibu, yang menempatkan lebih 100 pemerhati pilihan raya di Kuching, Sibu dan Miri.

Kumpulan itu yang diketuai oleh penasihat Jawatankuasa Pemantau Sarawak, Wong Meng Chuo dan penyelaras Hu Ting Ung, membuat laporan kepada pegawai pengurus pilihan raya.

Dalam laporannya, kumpulan itu menyenaraikan 11 dakwaan kesalahan, iaitu dakwaan rasuah pilihan raya, dakwaan penyalahgunaan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi bertanding dalam pilihan raya dan meletakkan bahan kempen dalam jarak 50 meter dari tempat mengundi.

Ini didakwa melibatkan kerusi Pelawan, Dudong dan Bawang Assan, tiga kerusi DUN di bandar Sibu.

Mereka membuat laporan itu kepada pegawai pengurus pilihan raya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (PR) hanya terletak di Kuching, kata Wong sambil menambah bahawa kumpulan itu juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

"Para saksi sanggup tampil, kita mempunyai saksi-saksi dan bukti dalam kes-kes ini," katanya dalam satu sidang akhbar.

Manakala 10 dakwaan kesalahan itu didakwa melibatkan calon BN dan calon langsung BN, dan satu didakwa melibat calon DAP bagi kerusi Bawang Assan, Stanley Chiew.

Yang lainnya termasuk tiga calon langsung BN - Wong Soon Koh (Bawang Assan), Tiong Thai King (Dudong) dan Janet Lau (Pelawan).

Senarai dakwaan kesalahan

Kumpulan itu menyenaraikan dakwaan kesalahan yang dilakukan:

30 April: Ketika menghadiri satu majlis sambutan ulang tahun di SJK Thai Kwang bersama dengan tiga calon langsung BN, Adenan berkempen dan mengumumkan RM500,000 peruntukan kepada sekolah.

Makanan dan minuman untuk makan malam telah disediakan secara percuma untuk pengundi

Dakwaan kesalahan: Seksyen 19 (1) (b), Seksyen 10 dan Seksyen 24B (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan Seksyen 405 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Adenan dan Wong Soon Koh telah menggunakan lebih daripada empat kenderaan kerajaan semasa majlis itu.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 405 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

16 April: Tiong Thai King memakai baju dengan logo partinya dan meminta mereka yang hadir di majlis itu mengundi BN.

Dakwaan kesalahan: Akta Kesalahan Pilihan Raya.

20 April: Tiong Thai King menyampaikan dana kerajaan sebanyak RM200 setiap satu kepada 291 keluarga dan menggesa ibu bapa mengundi BN.

Penjawat awam didakwa digunakan untuk kempen dalam aktiviti politik.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya, Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993.

27 April: Agen pilihan raya untuk Janet Lau memberitahu hadirin bahawa mereka tidak akan menerima peruntukan dana pembangunan kawasan pilihan raya jika calon itu tidak menang pilihan raya.

2 Mei: Wong Soon Koh berjanji untuk memberikan setiap penduduk RM500 sebelum pilihan raya dan RM200 lagi selepas pilihan raya jika dia menang.

Beliau dilihat memberi sampul kepada penduduk rumah panjang yang terbakar. Saksi itu tidak dapat mengesahkan sama ada sampul itu mengandungi wang.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

1 Mei: Poster menggunakan logo SPR dan logo BN. Ia menunjukkan ia adalah untuk N53 Bawang Assan. poster itu tidak mempunyai butiran penerbitan.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

1 Mei: Wong Soon Koh menghadiri satu majlis yang menyediakan makanan bufet percuma dan cabutan bertuah untuk pengundi. Cabutan bertuah itu termasuk telefon pintar serta hamper.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

1 Mei: Berkempen sebelum hari penamaan calon dengan mengedarkan pelekat kepada pengundi menggesa mereka untuk mengundi calon Tiong Thai King.

Mei 3: Bahan kempen Janet Lau didakwa dalam jarak 50 meter dari tempat mengundi.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 24B (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mei 2: MP DAP Oscar Ling, diiringi oleh calon DAP bagi kerusi Bawang Assan, Stanley Chiew, mengadakan majlis perasmian untuk sistem pam air yang baru dipasang. Pada masa yang sama, beliau menggesa pengundi di situ mengundi DAP.

Dakwaan kesalahan: Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Malaysiakini cuba menghubungi lima mereka yang disebut oleh kumpulan itu untuk mendapatkan komen.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS