Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Sarawak tak akan sertai BN - pesuruhjaya
Diterbitkan:  May 5, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee menegaskan parti itu tidak akan menyertai BN, sebaliknya akan terus memainkan peranan semak dan imbang khususnya selaku pembangkang di negeri itu.

Menurut Jofri, BN selaku parti memerintah gagal membela dan mempertahankan rakyat Sarawak selama lebih 50 tahun memerintah.

"Hasil dan kekayaan Sarawak diambil dan dimiliki bukan peribuminya, bahkan majoriti rakyat negeri ini hidup dalam kedaifan yang mendukacitakan termasuk tanpa kemudahan dan infrastruktur asas.

"Semua kemungkaran politik ini mesti dibetulkan dengan peranan dan suara kukuh PAS menerusi ruang yang ada," katanya pada kenyataan media.

Justeru itu katanya, amat penting bagi PAS mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"PAS akan bertindak dengan peranan semak dan imbang yakni selaku pembangkang yang konstruktif demi kepentingan rakyat dan negeri," katanya.

Pada pilihan raya negeri itu, PAS bertanding di 11 kerusi iaitu di Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Samalaju, Jepak, Pujut dan Lambir.

Parti Islam itu juga meletakkan harapan tinggi untuk melahirkan anak sulung terutama di DUN yang pernah ditandinginya seperti DUN Beting Maro, Sebuyau dan Sadong Jaya

PAS sebelum ini dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN selepas parti itu keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat.

Spekulasi itu diperkuatkan dengan hubungan mesra ditunjukkan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis beberapa bulan lalu.

Menafikan parti itu akan menyertai BN, Jofri berkata PAS akan terus menegur dan menasihati kerajaan dalam memastikan pelaksanaan hak rakyat ditunaikan.

"PAS akan memastikan setiap kezaliman kepada rakyat dicegah.

"Sehubungan itu sebarang dakwaan bahawa PAS akan bersama BN adalah sama sekali tidak benar.

"Sebaliknya PAS akan terus berjuang untuk menggantikan BN dengan menegakkan pemerintahan Islam yang adil untuk semua masyarakat Sarawak," ujarnya.

Lihat Komen
ADS