Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid Ibrahim balas budi bantu calon PAS di S’wak

Kehadiran bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu kempen calon PAS pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, semata-mata untuk mambalas budi rakan seperjuangannya itu.

Menurut seorang pegawai kanannya yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini kehadiran Khalid tidak ada kena mengena dengan hasrat ahli parlimen Bandar Tun Razak itu untuk menyertai PAS.

“Kehadiran Tan Sri Khalid pada kempen di Sarawak semata-mata mahu membalas budi petugas PAS yang telah bertungkus lumus membantu beliau semasa PRU lalu di Ijok, Bandar Tun Razak dan juga Pelabuhan Klang.

“Ia tiada kena mengena dengan hasrat masuk parti PAS ataupun tidak,” katanya.

Semalam, kehadiran Khalid di Bintulu bagi membantu kempen calon PAS untuk kerusi Samalaju, Zharudin Narudin sekali gus menambah bahang kempen pilihan raya negeri Sarawak yang masuk fasa kedua minggu ini.

Khalid turun padang menemui orang ramai di Pasar Tamu Bintulu pada pagi Isnin bersama jentera PAS di kawasan berkenaan.

PAS Sarawak dalam Facebooknya turut memaparkan gambar Khalid yang berbaju putih dan bersongkok beramah mesra dengan orang ramai.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, Khalid pada Ogos 2014 telah membuat aduan kepada Pejabat Pendaftar (RoS) berikutan pemecatannya dari PKR dan seterusnya sebagai menteri besar.

Namun, sehingga kini belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai perkara itu.

“Abdul Khalid telah dipanggil untuk memberi keterangan di RoS dan saya difahamkan presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) juga telah dipanggil untuk melakukan perkara yang sama. Setakat ini masih belum ada sebarang keputusan terhadap aduan yang dilakukan.

“Justeru adalah tidak molek jika Khalid menyertai mana-mana parti politik sebelum keputusan dari RoS diperolehi,” kata sumber itu.

Kerusi Samalaju menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zharudin, Majang Renggie (BN), Baba Emperan (DAP) dan Michael Lias (Bebas).

Samalaju adalah salah satu daripada 11 kawasan DUN baru di Sarawak.

Lihat Komen
ADS