Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyeru warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching mengundi BN dalam pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini.

Kata Hishamuddin, hanya BN mampu membawa keharmonian di negara ini dan hanya parti itu juga yang akan mempertahankan kedudukan serta keamanan dinikmati sekarang.

Sebelum itu, beliau yang juga menteri pertahanan berkata kerajaan mempunyai perancangan mengawal pintu sempadan negara dari sebarang ancaman luar.

Katanya, kerajaan tidak mahu konflik seperti berlaku di Mesir, Syria dan Iraq menimpa Malaysia.

“Ini yang kita nak pertahankan pada 7 Mei ini. (Sebab) ini saya hadir di SMK Petrajaya (dan) saya nak nyatakan bahawa, kalau tuan-tuan sayang pada keharmonian dan apa kita ada sekarang ini, tidak ada apa melainkan Barisan Nasionallah yang mampu mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kedudukan kita di sini,” katanya.

Kira-kira 300 guru dan pelajar mendengar ucapan diberikan anak bekas perdana menteri ketiga Malaysia itu.

Hishamuddin kemudian merasmikan gelanggang terbuka SMK Petra Jaya, Kuching.

Hadir di majlis itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan calon BN untuk kerusi Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Mengenai pilihan raya negeri, Hishamuddin berkata, BN mengetengahkan calon muda seperti Fazzrudin untuk memastikan "kelebihan" yang ada di Sarawak dapat dipertahankan dan terjamin.

“Nak mempertahankan keharmonian di negeri Sarawak, nak mengetengahkan calon-calon muda, bawa visi kita membangunkan negeri Sarawak, itu visi kita," katanya.

Lihat Komen
ADS