Ulangtahun ke-70: Ada parti sebaya Umno telah terkubur
Anggota UMNO tidak boleh leka dengan usia parti yang sudah matang sebaliknya perlu sentiasa berusaha dan menilai perjuangan
mereka bagi memastikan parti terus mendapat kepercayaan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata sebagai parti yang akan menginjak usia 70 tahun pada 11 Mei ini, anggota UMNO perlu sedar bahawa usia itu tidak menjanjikan parti dapat bertahan selamanya sekiranya anggota tidak bersatu.
"UMNO telah melalui kancah politik yang panjang dengan usia 70 tahun. Kita juga lihat di negara lain, ada parti politik yang hampir sebaya dengan UMNO telah berkubur.
"UMNO sedikit sebanyak bernasib baik, mungkin berkat doa orang dahulu... ibu bapa di dalam UMNO yang menyebabkan perjuangan parti untuk menegakkan agama, bangsa dan tanah air terus berjalan," katanya.
Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat negeri di Institut Pendidikan Guru, Kampus Tengku Ampuan Afzan di Lipis, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, semua anggota UMNO perlu terus merapatkan silaturahim dan bersatu padu di bawah pimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sering diasak dengan fitnah.
"Kita harus ingat, (usaha) untuk menjatuhkan sesebuah parti, apa yang perlu dilakukan adalah dengan menyerang pemimpin utama. Jika seorang pemimpin dimalukan, maka parti akan berkubur. Itulah yang dihadapi Perdana Menteri (Najib) sekarang.
"(Najib)diserang bertubi-tubi dengan harapan akan hancur. Tolak ke tepi dahulu salah faham (antara kita). Semarakkan perpaduan dalam UMNO, anggota wajiblah bersatu dan terus sokong beliau," katanya.
Ditanya sama ada anggota UMNO sekarang berada dalam keadaan 'selesa' ekoran faktor usia parti yang matang, Adnan menafikannya sebaliknya berkata:"Anggota UMNO sentiasa bekerja, namun sering menjadi tohmahan mereka yang mencari salah".
Dalam pada itu, beliau berkata 'keyboard warrior' UMNO memerlukan pendekatan lebih efektif untuk menentang pembangkang.
Mengenai sambutan ulang tahun UMNO, Adnan secara peribadi berpendapat adalah lebih baik jika diadakan forum interaktif melibatkan cendekiawan bagi membincangkan hala tuju dan survival parti.
- Bernama

