Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib, menteri ajak rakyat doa penumpang helikopter selamat
Diterbitkan:  May 5, 2016 9:51 PM
Dikemaskini: 10:41 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak orang ramai berdoa untuk keselamatan penumpang helikopter yang hilang di Sarawak.

Beliau juga menyatakan usaha sedang dijalankan untuk mengesan helikopter yang hilang di Sarawak.

“Amat bimbang berkaitan laporan helikopter hilang antara Betong dan Kuching.

“Usaha mencari dan menyelamat diaktifkan. Marilah berdoa untuk keselamatan mereka,” tulisnya di Twitter.

Sebuah helikopter yang dilaporkan membawa beberapa orang kenamaan hilang di Sarawak petang tadi.

Mengikut maklumat belum disahkan, salah seorang penumpang adalah timbalan menteri dan seorang pengerusi agensi kerajaan yang juga anggota parlimen BN.

Difahamkan Najib turut melawat Maktab Rendah Sains MARA di Betong pada hari ini.

Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan bertindak diketuai Polis Diraja Malaysia ditubuhkan segera untuk cari helikopter berkenaan.

Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mendoakan penumpang dan kru helikopter berkenaan selamat.

"Saya telah arahkan @airforcenextgen (Tentera Udara Diraja Malaysia) & @TenteraDarat bersama-sama dalam operasi mencari & menyelamat (SAR) helikopter yang dilaporkan hilang di Sarawak," katanya di Twitter.

Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak ketinggalan menunjukkan kebimbangan terhadap insiden itu.

"Mohon doakan keselamatan mereka. Please pray that they are safe (Tolong doakan mereka selamat)," katanya di Twitter.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menulis: “Praying for the safety of those onboard missing helicopter in Sarawak. Search ongoing (Berdoa untuk keselamatan penumpang helikopter yang hilang di Sarawak. Operasi mencari sedang berlangsung).”

Lihat Komen
ADS