Setinggan Kampung Sungai Udang dakwa Isa Samad 'lepas tangan'
Setinggan Kampung Sungai Udang di Segambut yang diarahkan berpindah minggu depan, mendakwa Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad bersikap lepas tangan dalam kes pemindahan mereka.
Setinggan Kampung Sungai Udang di Segambut yang diarahkan berpindah minggu depan, mendakwa Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad bersikap lepas tangan dalam kes pemindahan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaakob menyifatkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebagai 'seorang pemimpin yang tidak boleh diajak berunding'.
"Beliau tidak tahu menilai penderitaan penduduk setinggan terbabit apabila mengarahkan mereka berpindah . Saya tidak percaya beliau tidak tahu tentang status rumah pangsa Taman Cuepacs yang kami mahu beli itu.
"Setinggan Kampung Sungai Udang sudah lama memaklumkan status Taman Cuepacs itu kepada pegawai tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)...mustahil beliau tidak tahu mengenainya," kata Mohamad selepas mengadakan perjumpaan dengan Isa di pejabatnya di Bangunan DBKL, Selasa lalu.
Beliau juga berkata, penduduk terbabit tetap dengan pendirian mereka tidak akan berpindah selagi pihak berkuasa tidak memenuhi tuntutan mereka untuk membeli rumah pangsa Taman Cuepacs, yang dibina sebelah Kampung Sungai Udang.
Mohamad meminta Isa supaya membantu penduduk setinggan Kampung Sungai Udang membeli rumah pangsa Taman Cuepacs setelah DBKL mengarahkan mereka berpindah selewat-lewatnya pada 8 Mac ini.
Bagaimanapun, Isa mendakwa beliau tidak dapat membantu dengan alasan tidak tahu menahu mengenai kedudukan Taman Cuepacs tersebut.
Isa dilaporkan berkata, beliau tidak pernah diberitahu oleh pegawai DBKL mengenai perkara tersebut.
'Jangan salahkan kami'
Mohamad berkata, beliau dan setinggan lain sudah berulangkali ke pejabat pemaju Megah Kepong Sdn Bhd untuk membeli rumah pangsa tersebut tetapi mereka diberitahu ia dibina untuk DBKL.
Pemaju juga menyatakan bahawa urusan pembahagian rumah pangsa tersebut diuruskan sepenuhnya oleh DBKL.
DBKL, sebaliknya menawarkan setinggan tersebut rumah PPR di Jinjang tetapi mereka menolak dan bertegas mahu membeli rumah pangsa di Taman Cuepacs kerana ianya dekat dengan rumah mereka sekarang.
DBKL mengarahkan penempatan setinggan Kampung Sungai Udang dikosongkan untuk memperbesarkan projek tebatan banjir di kampung tersebut.
Mohamad berkata, Isa hanya mahu menyalahkan setinggan kerana tidak mahu berpindah, selagi tidak mendapat membeli rumah pangsa Taman Cuepacs "tetapi beliau tidak menyalahkan pegawai DBKL yang tidak memberi maklumat itu kepadanya".
Katanya, pada Januari lalu setinggan telah menghantar memorandum mengenai projek rumah pangsa Taman Cuepacs kepada DBKL dan pegawai tinggi DBKL sendiri berjanji untuk menyiasat perkara tersebut.
Berikutan itu, setinggan Kampung Sungai Udang mengambil keputusan untuk tidak berpindah melainkan mendapat rumah pangsa Taman Cuepacs yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap akhir tahun ini.
Notis akhir pemindahan yang ditetapkan oleh DBKL kepada setinggan Sungai Udang ialah 8 Mac ini.

