DAP: Nyatakan punca sebenar kejadian 13 Januari
DAP hari ini kesal dengan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bahawa gangguan bekalan elektrik yang melibatkan lima negeri pada 13 Januari lalu bukan disebabkan kecuaian Tenaga Nasional Berhad (TNB).
DAP hari ini kesal dengan kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik bahawa gangguan bekalan elektrik yang melibatkan lima negeri pada 13 Januari lalu bukan disebabkan kecuaian Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika ianya bukan disebabkan oleh kecuaian TNB, maka menteri berkenaan perlu menyatakan punca sebenar kejadian tersebut.
Gangguan itu berlaku kira-kira jam 12.16 tengah hari berkenaan dan mencetuskan suasana kelam-kabut hingga menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk apabila lampu isyarat di jalan utama tidak berfungsi.
Selain itu, ia juga menjejaskan banyak sektor ekonomi di Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Dalam satu kenyataan hari ini, Guan Eng berkata, rakyat Malaysia masih tertanya-tanya mengenai punca sebenar kejadian itu, kerana pelbagai alasan telah dinyatakan sebab ini daripada kebocoran gas hinggalah kepada lebihan bebanan bekalan.
Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya untuk Keng Yaik atau TNB menerangkan apakah punca sebenar yang menyebabkan berlakunya gangguan tersebut.
Menurut laporan hari ini, Keng Yaik berkata, oleh kerana ia bukan kecuaian TNB, maka mengikut Artikel 17(3) Akta Bekalan Elektrik 1990, syarikat tersebut tidak boleh dipertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.
Oleh itu, tegas menteri itu lagi, apa-apa isu berbangkit mengenai bayaran gantirugi kepada penguna terjejas, adalah bergantung kepada budi bicara TNB.
Mengulas lanjut mengenainya, Guan Eng berkata, Keng Yaik sepatutnya meletakkan jawatan kerana sebelum ini beliau pernah berkata TNB perlu membayar pampasan ekoran kejadian tersebut.
Perlu bertanggungjawab
"Menteri ini tidak mempunyai kredibiliti kerana melanggar janjinya sendiri dan ini menunjukkan beliau tidak boleh diharap langsung," kata Guan Eng.
Menurut Guan Eng, pada hari kejadian tersebut, Keng Yaik membuat kenyataan bahawa para pelanggan boleh menuntut gantirugi daripada TNB dan ianya disiarkan di muka depan akhbar-akhbar berbahasa Cina.
Beliau mengulanginya selepas mesyuarat kabinet pada 27 Januari lalu, dengan mengatakan sama ada ianya berpunca daripada kesilapan teknikal atau kesilapan manusia, TNB masih perlu bertanggungjawab sepenuhnya
"Keng Yaik dan TNB boleh bercakap menggunakan istilah-istilah teknikal berhubung kejadian tersebut, tetapi hakikatnya ialah Tenaga telah gagal menunaikan kewajipannya untuk memastikan tiada masalah dalam bekalan elektrik.
"Kegagalan ini tidak boleh diterima. Jika bekalan tenaga elektrik dipotong kerana bil tidak dibayar, maka TNB juga boleh dipersalahkan jika gagal menyediakan bekalan," katanya.
Beliau berkata, sejak kejadian gangguan bekalan elektrik pada 1996, kerajaan telah memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan ia tidak berulang lagi.
"Kini jelas bahawa kerajaan dan TNB sekali lagi gagal mengotai janji. Bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap TNB, maka pampasan penuh perlu dibayar kepada pengguna yang membuktikan kerugian mereka dan rebet 20 peratus kepada yang tidak dapat berbuat demikian," tambahnya.

