Anwar temui Setiausaha Agung PBB, pegawai tinggi Amerika
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yakin bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memainkan peranan yang besar dalam memulih dan mengendurkan ketegangan dalam hubungan antara negara-negara Islam dengan pihak Barat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yakin bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memainkan peranan yang besar dalam memulih dan mengendurkan ketegangan dalam hubungan antara negara-negara Islam dengan pihak Barat.
Dalam satu perjumpaan Isnin lalu, Annan juga yakin sumbangan Anwar itu akan memberi kesan positif dalam memulihkan hubungan tersebut selepas peristiwa 11 September pada 2001.
"Perbincangan mereka tertumpu kepada soal konflik di antara Islam dan Barat dan pembangunan semula Indonesia selepas tragedi tsunami Disember lalu," kata pembantu bekas timbalan perdana menteri itu, Azmin Ali.
"Dalam perbincangan tersebut, Annan juga berkata beliau gembira kerana Anwar akhirnya dibebaskan selepas menjalani hukuman enam tahun penjara," tambahnya.
Ini merupakan pertemuan pertama Anwar dengan Setiausaha Agung PBB itu selepas beliau dibebaskan dari penjara tahun lalu.
Hadir sama di perjumpaan selama 45 minit itu, yang berlangsung di ibupejabat PBB di New York ialah Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat serta pegawai kanan PBB Micheal Moller.
Anwar mengadakan lawatan sambil bekerja selama tujuh hari ke Amerika mulai 23 Februari lalu.
Dasar tidak konsisten
Menurut Azmin lagi, Anwar turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolfowitz di Pentagon pada 24 Februari lalu di mana beliau melahirkan keraguannya terhadap pendekatan unilateral yang diamalkan oleh Presiden George W Bush.
"Anwar memberitahu Wolfowitz yang Amerika perlu mengambil pendekatan yang konstruktif dalam berurusan dengan negara-negara Islam dan tidak dilihat sebagai sebuah kuasa besar yang angkuh."
Pada masa yang sama, Anwar juga menyentuh dasar-dasar yang tidak konsisten di beberapa negara Islam yang bercanggah dengan semangat kebebasan dan demokrasi.
"Sementara mereka mengkritik Amerika kerana mengambil tindakan ketenteraan terhadap sesetengah negara Islam, orang yang sama juga terus menindas rakyat mereka dengan mengawal kebebasan media, menyempitkan ruang demokrasi dan mempertahankan undang-undang kuku besi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," kata Azmin lagi.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga menekankan bahawa kerajaan Amerika perlu mengundurkan segera tenteranya dari Iraq. Beliau juga menyatakan sokongannya terhadap desakan supaya tentera Israel keluar dari Palestin dan juga desakan supaya tentera Syria berundur dari Lebanon.
"Dalam perjumpaan satu jam dengan Wolfowitz itu, Anwar juga mempertahankan sarjana Islam terkenal, Sheikh Yusuf al-Qardhawi yang sering dikritik tanpa asas, kerana didakwa menyokong keganasan. Anwar berkata, laporan yang memetik Qardhawi mengeluarkan fatwa membenarkan pembunuhan rakyat Amerika adalah palsu dan berniat jahat," kata Azmin.
Ini adalah pertemuan kedua Anwar dengan Wolfowitz. Sebelum ini mereka bertemu di Jerman sewaktu Anwar sedang menjalani rawatan di sana.
Selain pertemuan dengan Annan dan Wolfowitz, Anwar juga mengadakan perjumpaan dengan bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, William Cohen dan bekas Setiausaha Negara, Madeline Albright.
Selepas dibebaskan, Anwar telah bekerja keras untuk menjalinkan semula hubungan rapatnya dengan ketua-ketua kerajaan di Arab Saudi, Afrika Selatan, Indonesia, Abu Dhabi dan Qatar.

