Kerajaan tetap mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin di bawah "Ops Tegas" walaupun mereka mempunyai surat daripada Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ketika menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan sedia berbincang dengan UNHCR sekiranya badan PBB itu mengemukakan rayuan mengenai perkara itu.

"Tetapi apa-apa rayuan dari UNHCR tidak semestinya kita setuju. Ini terpulang kepada pihak kerajaan untuk menentukan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan hampir RM700,000 untuk mangsa tsunami bagi pihak Tabung Bencana Negara di Putrajaya.

Bernama melaporkan beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada pendatang tanpa izin yang mempunyai surat UNHCR "kebal" daripada tindakan pihak berkuasa dalam Ops Tegas bermula Selasa lepas.

"Kalau sekiranya mereka ini merupakan pendatang tanpa izin, walaupun mereka ada apa-apa suratpun, kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang negara.

"Secara umumnya, mereka yang masuk secara tidak sah perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid dilaporkan sebagai berkata pihaknya mempunyai maklumat bahawa UNHCR memberikan status pelarian kepada terlalu ramai pendatang tanpa izin di negara ini.

Boleh timbul kekeliruan

Beliau berkata, menurut maklumat yang diperolehi, sesetengah daripada pendatang yang mempunyai surat UNHCR bukanlah pelarian dalam erti kata sebenarnya.

Azmi turut dilaporkan sebagai berkata golongan pelarian dan mereka yang telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan status berkenaan tidak akan menjadi sasaran Ops Tegas.

Najib berkata kerajaan sedia berunding dengan UNHCR untuk menentukan tindakan selanjutnya bagi mereka yang benar-benar didapati mempunyai status pelarian.

Mengenai laporan mengenai kehadiran media asing ketika pihak berkuasa Malaysia menjalankan operasi menangkap pendatang tanpa izin, beliau berkata: "Kita nak suruh dia keluarpun tak boleh juga."

Bagaimanapun, beliau berharap mereka tidak mensensasikan berita yang dilaporkan mengenai operasi itu.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan hari ini menegaskan UNHCR tidak sepatutnya memberikan status pelarian kepada pendatang tanpa izin di Malaysia.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) berkata Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri mempunyai alasan kukuh untuk berasa kecewa dengan UNHCR sekiranya benar badan itu memberikan status pelarian kepada pendatang tanpa izin yang memilih untuk terus tinggal di negara ini selepas tamatnya tempoh pengampunan.

Presidennya, Datuk Dr Jacob George berkata, tindakan seumpama itu akan menimbulkan kekeliruan dan mendatangkan kesan serius terhadap hubungan dua hala antarabangsa.