Asas: Kedah gagal mengekalkan ekologi
Angkatan Sahabat Alam Sekitar (Asas) Merbok sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah kecewa dengan penerokaan dan kemusnahan hutan simpanan yang menjadi kawasan tadahan yang sedang berlaku di negeri tersebut.
Angkatan Sahabat Alam Sekitar (Asas) Merbok sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah kecewa dengan penerokaan dan kemusnahan hutan simpanan yang menjadi kawasan tadahan yang sedang berlaku di negeri tersebut.
Pegawai Operasinya, Aziz Man berkata, penerokaan kawasan hutan simpanan itu bukan sahaja berlaku di Empangan Ahning dan Pedu, tetapi juga di Bukit Enggang di Sik dan di Gunung Jerai.
Menurutnya, kawasan hutan simpanan dekat Empangan Ahning, seperti Padang Terap, Bukit Siong, Bukit Keramat, Chebar Besar mengalami kemusnahan hutan yang teruk.
Aziz menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Zain bahawa ladang seluas 157 hektar akan dibangunkan di situ dengan semaian arboretsom, sebagai "retorik belaka".
"Beliau sendiri yang mengeluarkan lesen pembalakan yang membawa kemusnahan sumber asal yang terdapat di Kedah," katanya dalam satu kenyataan kepada malaysiakini.
Aziz berkata, pembalakan menggunakan helikopter di kawasan tersebut satu ketika dulu mendapat bantahan daripada rakyat seluruh negara.
Pada tahun 2002, katanya, kabinet telah mengeluarkan arahan supaya diselamatkan balak di kawasan tersebut.
Kekurangan bajet
"Pada tahun 2005, Kedah mengalami kekurangan bajet sebanyak RM553.10 juta dan hutang kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM1.2 bilion. Kedah perlu membayar RM47 juta setahun.
"Dalam keadaan tertekan dan bermasalah ini, ditambah dengan ekonomi yang tidak menentu, jalan mudah untuk mendapatkan hasil ialah melalui pembalakan, pembukaan hutan dara, penjualan tanah rizab kerajaan, melombong pasir sungai dan pengambilan tanah rakyat untuk dimajukan," katanya.
Aziz mendakwa, kerajaan negeri gagal mengekalkan ekologi dan ekosistem yang amat berharga, sekaligus melanggar arahan kabinet pada tahun 2002 supaya menyelamatkan balak di kawasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan kerajaan negeri perlu mengambil langkah membendung kemusnahan alam sekitar seperti bukit, hutan, sungai dan tasik demi mengurangkan bencana kemusnahan ekologi.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan hari ini, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil beberapa dokumen di pejabat Jabatan Hutan Kedah bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penerokaan di dua kawasan hutan simpan di negeri itu.
Dokumen itu dikatakan diambil oleh tiga pegawai BPR Kedah yang memulakan siasatan di pejabat jabatan berkenaan, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, pengarah jabatan berkenaan, Wan Yusoff Wan Ahmad, tidak ada di pejabat ketika itu kerana melawat Hutan Simpanan Kekal Bukit Perangin.

