PAS perlu sambut pelawaan Azmin, kata Mahfuz
PAS perlu menyambut pelawaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali agar parti Islam itu kembali menyertai pakatan pembangkang bersama PKR, DAP dan AMANAH.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata beliau berpendapat pelawaan Azmin dibuat selepas menyedari kesan akibat kekalahan pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.
Justeru beliau berharap pemimpin PAS menyambut baik pelawaan itu, selain mengingatkan parti-parti pembangkang agar mengenepikan ego masing-masing demi kebaikan rakyat.
"Saya sangat mengharapkan pimpinan PAS akan menyambut baik pelawaan Azmin demi Malaysia dan rakyat untuk bersama dalam satu pakatan pembangkang PAS, PKR, DAP dan AMANAH serta parti-parti lain dan NGO.
"Kepada semua pemimpin parti parti politik saya mengharapkan dapat merendahkan ego, meninggikan akal mencari panduan, meneguhkan pegangan dan menggenggam keazaman untuk perubahan demi rakyat dan Malaysia tercinta," katanya pada kenyataan media hari ini.
Menurut Mahfuz, parti-parti pembangkang perlu kembali kepada meja perbincangan melalui satu pakatan yang boleh memberi harapan baru yang meyakinkan rakyat.
Katanya, krisis negara yang makin kritikal perlu ditamatkan segera dengan mengambil kira suara pelbagai latar belakang ideologi politik dan NGO.
"Rakyat mahukan perubahan bermula dengan penyatuan dan kesepakatan parti pembangkang yang meyakinkan," katanya.
Azmin Ali kelmarin mengajak PAS untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri Sarawak yang menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.
"Justeru, AMANAH dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," kata Azmin dalam kenyataan.
Pelawaan itu juga dibuat ketika kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian dua wakil rakyat BN dalam nahas helikopter di Sarawak.
Susulan itu PAS hari ini mengumumkan mereka akan bertanding di dua kerusi berkenaan selepas kalah dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad hari ini berkata hanya PAS pusat boleh membuat keputusan sama ada mahu menerima pelawaan Azmin atau sebaliknya.

