Najib seru ahli parti pastikan Umno subur sepanjang zaman
Sempena ulang tahun ke-70 penubuhan Umno pada Rabu ini, Datuk Seri Najib Razak mengajak semua anggota parti supaya memastikan kelangsungan parti Melayu terbesar itu supaya terus subur sepanjang zaman.
Najib yang juga presiden Umno berkata parti itu melangkah dari tapak ke tapak, bermula dengan sekumpulan pemikir dan pejuang bangsa yang mengasaskan parti itu untuk orang Melayu.
"Kini, 70 tahun selepas penubuhannya, kita mempunyai jutaan ahli Umno serata Malaysia, ayuh kita pastikan kelangsungan perjuangan parti yang kita cintai ini tidak terkubur, malah subur sepanjang zaman," katanya dalam catatan terbaharunya dalam laman Facebook hari ini.
Najib turut memuat naik infografik yang menunjukkan perkembangan Umno sejak 1946 sehingga kini.
Pada 1946, Umno lahir apabila puluhan orang Melayu berkumpul untuk membincangkan masa depan mereka dan tanah air sendiri.
Pada 2016, Umno semakin maju memimpin aspirasi dan kecemerlangan Melayu dan Bumiputera, dengan jutaan anggota terus menyemarakkan semangat perjuangan parti.
Ulang tahun penubuhan Umno disambut pada 11 Mei setiap tahun.
Bagi tahun ini, sambutan penubuhan parti itu ditunda kepada Khamis ini bagi memberi penghormatan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan pada 11 Mei.
- Bernama

