Chin Peng fail permohonan mahkamah untuk pulang ke Msia
Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang kini sudah menjangkau usia 80 tahun, hari ini menfailkan permohonan di mahkamah sebagai usaha terakhirnya untuk mendapat kebenaran pulang ke tanahair.
Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang kini sudah menjangkau usia 80 tahun, hari ini menfailkan permohonan di mahkamah sebagai usaha terakhirnya untuk mendapat kebenaran pulang ke tanahair.
Peguam Darshan Singh telah menfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi pihak Chin Peng dan kira-kira 300 hingga 500 pengikutnya.
Permohonan Chin Peng itu, yang juga bekas setiausaha agung PKM yang diharamkan, dibuat dua tahun selepas kerajaan menolak permintaannya untuk pulang menziarahi kuburan nenek moyangnya dan melancarkan biografinya.
Dalam satu kenyataan yang difaks kepada AFP, Chin Peng berkata, dia dan pengikutnya telah telah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak kerajaan supaya mereka dapat pulang ke tanahair, tetapi sehingga ini ianya belum menjadi kenyataan.
"Kami tidak ada pilihan lain kecuali untuk menfailkan permohonan ini di mahkamah sebagai usaha terakhir kami," katanya yang kini tinggal dalam buangan di Thailand
Katanya, mereka ingin kembali ke tanahair untuk menjalani kehidupan yang aman damai serta menziarahi kuburan nenek moyang dan anggota keluarga mereka.
Chin Peng menggesa kerajaan supaya mengotai janjinya dalam perjanjian damai tahun 1989 untuk membenarkan bekas anggota PKM pulang ke tanahair.
Katanya, mereka telahpun berikrar untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, dan meninggalkan perjuangan bersenjata mereka.
"Kami tidak pernah meminta sebarang habuan kewangan. Malah sekarang pun, kami bersedia untuk menarik balik semua kes mahkamah jika kami dibenarkan pulang menetap di Malaysia," katanya.
"Anehnya, kami yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan sanggup menggadai nyawa untuk negara, tidak dibenarkan pulang untuk menetap dan mati di tanahair kami sendiri," katanya.
Tinggal dalam buangan
Chin Peng pernah dianugerahkan 'Order of the British Empire (OBE)' and dua pingat kerana membantu pihak British berjuang menentang tentera Jepun di Malaysia sewaktu Perang Dunia Kedua.
Dia kemudiannya mengetuai perjuangan gerila komunis PKM menentang penjajahan British dan kerajaan Melayu di antara tahun 1948 dan 1960.
Pihak kerajaan dan PKM akhirnya telah menandatangani perjanjian damai pada bulan Disember 1989.
Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dan dilahirkan di Sitiawan, Perak, telah menghasilkan biografinya dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan di Singapura yang bertajuk:"Alias Chin Peng: My Side of History."
Kerajaan telah menolak permohonannya untuk dibenarkan pulang ke Malaysia pada tahun 2003 atas alasan dia masih lagi ada kaitan dengan pertubuhan yang diharamkan itu dan dalam "sejarah keganasan" di negara ini.
Persatuan Bekas-bekas Perajurit Malaysia juga menggesa kerajaan supaya mengharamkan Chin Peng daripada memasuki negara ini.
- AFP

