Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA tempelak 'Superman' susulan ‘Biar Aziz skru Melayu’
Diterbitkan:  May 10, 2016 1:15 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

MCA membidas DAP kerana memainkan isu perkauman semasa pilihan raya negeri Sarawak yang baru sahaja melabuhkan tirainya, dengan apa yang disifatkan sebagai politik keji.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker merujuk kepada video yang memaparkan Hew Kuan Yau dari DAP, yang dikenali sebagai ‘Superman’ di kalangan penyokongnya kerana sering memakai baju superhero komik itu.

Semasa berkempen dalam pilihan raya negeri itu, Hew, menerusi ceramah Skype, menggesa para pengundi Cina untuk menyokong Abdul Aziz Isa bagi kerusi Batu Kitang.

Beliau berkata, jika terpilih, Abdul Aziz akan “skru Melayu” sendiri, “skru pegawai Melayu yang rasuah” dan “skru Parti Bersatu Bumiputera yang pok kai”.

“Ini pertunjukkan yang baik untuk kita tonton, setuju tidak?” tanya beliau dalam ucapan berbahasa Cina.

Video ucapan tersebut berlegar-legar dalam media sosial dan turut berada pada akaun Facebook milik Hew.

Mengulas lanjut, Ti berkata, adalah malang bagi DAP untuk selalu memainkan nada seperti itu dengan mencanangkan sentimen kaum dan agama.

“Mereka hanya parti berbilang kaum atas kertas sahaja namun memainkan perkauman dalam kebanyakan ucapan mereka terutama ketika berucap kepada penonton Cina,” katanya.

“Mereka telah gagal sebagai parti berbilang bangsa namun berlindung di sebalik emosi dan sifat chauvinisme.

“Sesetengah pihak terlepas pandang keburukan mereka ini apabila mahu menuntut perubahan,” katanya kepada Malaysiakini.

DAP sering dituduh oleh Umno sebagai mahu merendah-rendahkan kedudukan masyarakat Melayu walaupun pucuk pimpinan DAP kerap kali menafikannya.

Dalam usaha untuk menangkus dakwaan seperti itu dan keluar dari imej parti berteraskan Cina, DAP mula mendekati masyarakat Melayu, melantik mereka dalam organisasi serta meletakkan calon-calon Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Bagi kerusi Batu Kitang, DAP meletakkan Abdul Aziz di saat-saat akhir, sebagai balasan kepada PKR yang menolak untuk berundur dari bertanding di lima kerusi yang sama.

Pepecahan tersebut berkesudahan dengan semua calon DAP dan PKR tewas tersebut di tangan calon BN.

Di Batu Kitang, calon BN, Lo Khere Chiang memenangi kerusi itu dengan 6,494 undi, manakala Abdul Aziz mendapat 4,628 undi dan calon PKR, Voon Shiak Ni mendapat 889 undi.

Lihat Komen
ADS