Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan bekas ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari dilantik sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar yang akan ditetapkan tidak lama lagi.
Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata Ramly adalah pilihannya kerana beliau seorang yang berjiwa rakyat.
Malah, menurutnya, meskipun wakil rakyat itu pernah digugurkan pada pilihan raya yang lalu, Ramly yang juga adalah ketua bahagian tidak sedikit pun memberontak sebaliknya terus melakukan kerja masyarakat bagi rakyat Kuala Kangsar.
“Mungkin saya sedikit ‘biased' (berat sebelah) menyokong Datuk Ramly Zahari untuk jadi calon Parlimen Kuala Kangsar sebab sebelum ini pun beliau telah lama menjadi ketua bahagian kawasan itu.
“Beliau juga telah menjadi ADUN selama empat penggal dan apabila beliau digugurkan pada pilihan raya lepas beliau tidak sedikit pun menunjukkan rasa marah malah beliau terus membuat kerja-kerja masyarakat Kuala Kangsar,” katanya kepada Malaysiakini.
Pilihan raya kecil Kuala Kangsar akan diadakan susulan nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu yang mengorbankan penyandang kerusi itu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Mengulas lanjut, Nazri berkata hubungan rapat Ramly dengan rakyat sejak dari awal perkhidmatannya memudahkan parti itu untuk mengekalkan kerusi parlimen itu.
“Beliau juga telah menubuhkan Yayasan Anak Kuala Kangsar sekali gus membolehkan beliau terus berhubung dengan masyarakat Kuala Kangsar maknanya dia tidak hilang perhubungan walaupun tidak dicalonkan dalam pilihan raya yang lepas.
“Lagi pun dia masih muda, tak silap saya umur dia baru 57 masih mudalah untuk pencen dari politik. Ini secara kebetulan ada kekosongan, jadi saya harap mudahlah untuk kita hadapi PRK ini sekiranya Datuk Ramli Zahari jadi calon, itu pandangan saya,” kata Nazri.
Sebelum ini spekulasi tersebar bahawa Ramly yang juga adalah bekas exco kerajaan negeri Perak di bawah Datuk Seri Zambry Kadir digugurkan kerana mahu mencabar menteri besar Perak itu.
Sementara itu, Ramly yang dihubungi Malaysiakini menyatakan kesediaanya jika beliau dicalonkan kelak.
Malah, beliau juga yakin mendapat sokongan penuh parti komponen BN.
“Kalau kita ditawarkan saya masih boleh dan bersedia untuk berkhidmat.
“Saya juga yakin mampu meneruskan khidmat saya kerana semua komponen parti telah maklumkan kepada saya bahawa mereka memberi sokongan penuh kepada saya,” kata Ramly.
