Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan belum iktiraf UEC, tegas KPT
Diterbitkan:  May 10, 2016 6:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menegaskan pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) masih di peringkat perbincangan, belum dimuktamadkan.

Dalam kenyataannya, KPT memberi maklum balas sedemikian sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon yang dipetik sebagai berkata UEC akan diiktiraf 'tidak lama lagi'.

“Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan pertemuan tidak rasmi, pada bulan Mac, dengan pelaksana UEC di Kuching untuk meninjau pandangan mereka dan membincangkan hal tersebut.

“KPT mahu menekankan bahawa dasar semasa masih diguna pakai, dengan UEC harus menerima syarat semasa kementerian untuk kemasukan ke dalam universiti awam,” jelas kementerian itu.

UEC adalah ujian standard untuk pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Semalam, gerakan penyokong sekolah satu aliran mengeluarkan kenyataan bagi membantah sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC.

Pengerusi gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (SERAP), Shahril Hamdan menggesa Chong agar menjelaskan perkara itu.

“Kami menentang sekeras-kerasnya hal ini dan kami mahu Chong menjelaskan sama ada kenyataannya itu berdasarkan harapan sendiri atau sememangnya ianya telah dipersetujui oleh pihak kerajaan,” kata Shahril dalam kenyataannya.

Shahril, yang juga ahli majlis eksekutif Pemuda Umno berkata, Chong harus menyedari UEC tidak menggunakan kurikulum nasional dan telah menggunakan kurikulum Taiwan selain diuruskan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), berbanding kerajaan.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak secara prinsipnya bersetuju mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.

Langkah itu menjadikan negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

Putrajaya sebelum ini tidak menerima UEC sebagai syarat untuk menyertai institusi awam, kerana ia dikatakan gagal mengikuti dasar-dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

Lihat Komen
ADS