Penduduk setinggan Kampung Seri Damai, Cheras Baru di Ampang mendakwa berlaku penyelewengan di dalam proses pembahagian rumah pangsa di kampung tersebut baru-baru ini.

Mereka mendakwa ada pemimpin politik di situ yang meminta wang antara RM300 hingga RM500 untuk membantu penduduk mendapatkan rumah tersebut.

Seorang pemohon, Rosli Awang berkata, beliau dan pemohon lain terpaksa membayar RM500 seorang untuk mendapatkan rumah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, walaupun membuat bayaran itu, beliau tidak mendapat rumah tersebut.

Berikutan itu Pengerusi Biro Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR), Syed Nazarudin Syed Aziz meminta pihak berkuasa supaya segera menyiasat perkara tersebut.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Kerajaan Selangor perlu menyiasat secara mendalam mengenai penyelewengan tersebut.

Beliau berkata, setinggan juga tidak mendapat pampasan sewajarnya seperti yang dijanjikan oleh MPAJ.

Tidak adil

"Terdapat setinggan yang mendiami kawasan tersebut sejak bertahun-tahun tetapi tidak mendapat rumah seperti yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .

Syed Nazarudin mendakwa, terdapat orang berada yang mendapat unit rumah pangsa tersebut dengan harga yang sama iaitu RM35,000 seunit.

"Kami berpendapat pembahagian rumah pangsa kos rendah haruslah mengutamakan mereka yang lebih memerlukannya, terutama yang berpendapatan rendah, golongan yang tidak mempunyai rumah dan ibu tunggal," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno Cawangan Kampung Seri Ramai yang enggan namanya disiarkan berkata, banyak penyelewengan berlaku di dalam pembahagian rumah pangsa tersebut.

Beliau berkata, beberapa pihak yang berpengaruh dalam Umno mahupun MPAJ, menggunakan kuasa mereka untuk memberi rumah kepada 'orang-orang mereka'.

Ini menyebabkan berlaku perpecahan di dalam masyarakat apabila mereka yang tidak berpuashati menuduh yang lainnya mendapat rumah pangsa tersebut secara tidak betul.

Rumah pangsa baru Kampung Seri Damai mengandungi 201 unit manakala jumlah penduduk ialah 350 keluarga.