Semua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diwajibkan tinggal di asrama dalam kampus mulai sesi pengambilan Julai ini "untuk mengelak gejala sosial dan kejadian yang tidak diingini", demikian menurut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh universiti tersebut.

Surat pekeliling yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselornya, Dr Alias Mohd Noor yang menjaga hal-ehwal pelajar, dikeluarkan pada 21 Februari. Salinannya ditampal di papan notis di kampus utama UTM di Skudai, 16 km dari Johor Bahru.

Menurut Dr Alias, sekiranya ada pelajar yang tidak memilih asrama mengikut kaedah yang disediakan, pihak universiti, secara automatik, akan menempatkan mereka di asrama lingkaran luar dan akan dikenakan sewa mengikut kadar bilik yang ditetapkan.

Difahamkan, peraturan baru itu akan menjejaskan pelajar yang menyewa di luar kampus. Satu majlis dialog dengan jabatan hal-ehwal pelajar dijadual diadakan esok. Kira-kira 500 pelajar dijangka hadir.

Surat pekeliling itu juga memaklumkan mengenai kenaikan kadar baru sewa asrama di universiti tersebut "bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana kolej kediaman, dengan mengambil kira kos pengurusan semasa".

Menurutnya, kali terakhir pihak universiti melakukan penyelarasan sewa bilik asrama ialah pada tahun 1999.

Dr Alias berkata, penetapan kadar sewa asrama dibuat berdasarkan jarak, lokasi dan keluasan bilik. Kadar sewa baru itu ialah antara RM3.50 hingga RM6.50 setiap pelajar sehari, iaitu kenaikan 15 peratus berbanding kadar sewa sekarang.

Sebelum ini, hanya pelajar tahun satu diwajibkan tinggal di dalam kampus. Pelajar dua tahun ke atas dibenarkan memilih tempat kediaman mereka sendiri di luar kampus.

Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 2003, pihak universiti mengeluarkan peraturan di mana pelajar baru dan pelajar lama yang sudah didaftar tinggal di asrama, tidak boleh berpindah selepas itu.

Bantahan keras

Pengumuman tersebut telah mengundang bantahan keras. Malaysiakini juga turut menerima berapa rungutan berhubung perkara tersebut.

Ketika dihubungi, seorang pemimpin pelajar daripada 'kumpulan pengawas kampus' berkata para pelajar patut dibenarkan memilih sama ada mahu tinggal atau tidak, di asrama yang ditetapkan oleh pihak universiti.

"Hak kami tidak diendahkan," kata pelajar itu yang tidak mahu namanya disebut. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 melarang pelajar dan kakitangan akademik, mengeluarkan kenyataan media tanpa kelulusan naib canselor.

Menurutnya lagi, peraturan itu akan menjejaskan para pelajar yang selama ini tinggal di rumah yang sewanya rendah sejak beberapa tahun lalu di taman-taman perumahan berdekatan.

Contohnya, sewa untuk sebuah bilik di Taman Universiti dan Taman Pulai Utama ialah kira-kira RM150 sebulan, berbanding RM190 bagi satu bilik di asrama universiti.

"Lebih penting lagi, majoriti asrama universiti tidak dilengkapkan dengan talian telefon, jadi bagaimana kami hendak melayari Internet. Keluasan bilik asrama juga lebih kecil daripada bilik di luar kampus," tegasnya.

Menurutnya lagi, pelajar terbabit akan berdepan dengan masalah untuk menamatkan perjanjian penyewaan rumah sewa sekarang, serta terpaksa menjual perabot yang telah dibeli.

Dia juga mempersoalkan rasional pihak universiti menggunakan alasan 'untuk menjaga keselamatan pelajar' untuk menguatkuasakan peraturan baru itu.

"Saya tidak nampak setakat mana selamatnya pelajar apabila mereka tinggal di asrama universiti kerana memang ada kes-kes tertentu yang disembunyikan daripada pengetahuan umum sebelum ini.

"Kami amat bimbangkan keselamatan pelajar perempuan yang tinggal di asrama kerana pihak berkuasa boleh membuat serbuan ke bilik mereka pada bila-bila masa sahaja. Kami pernah menerima aduan mengenainya sebelum ini," katanya.

Sebaliknya, dia mendakwa, peraturan baru itu dikuatkuasakan dengan niat untuk menyekat aktiviti pelajar, sejak kumpulan 'anti kerajaan' menang dalam pilihanraya kampus tahun lalu.

"Pastinya, apabila pihak universiti menempatkan semua pelajar di asramanya, kegiatan mereka dapat dipantau dan dikawal dengan mudah. Maka, tidak akan ada lagi ruang untuk kami," tambahnya.

Motif sebenar?

Dalam satu emel yang diterima oleh malaysiakini , seorang pelajar UTM mendakwa langkah itu bertujuan untuk menampung kos membina bangunan tambahan kolej kediaman.

Sepuluh lagi kolej kediaman dibina di antara tahun 2002 dan 2003, sebagai tambahan kepada tujuh asrama sedia ada yang juga turut diperbesarkan.

"Apakah keselamatan pelajar yang sebenarnya dipentingkan atau kerana mereka mahu wang (untuk menampung kos tersebut)? Jelas sekali mereka mahu menampung kos membina kolej baru," katanya.

November lalu, pihak pentadbiran UTM telah mengarahkan pelajarnya berpakaian kemas setiap hari Isnin. Berikutan itu, pelajar lelaki diwajibkan memakai baju tangan panjang berwarna putih atau berwarna cerah, memaki tali leher, seluar warna hitam, sarung kaki dan kasut.

Pelajar wanita Islam pula diwajibkan memakai baju kurung dan kasut, manakala yang bukan Islam memakai maksi selabuh skirt dan kasut. Pada hari Isnin, pelajar wanita tidak dibenarkan memakai baju kemaja dan seluar panjang.

Pihak universiti itu berkata, peraturan tersebut bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang melalui penguatkuasaan peraturan dan disiplin.