Seperti Muhyiddin di hujung tanduk
ULASAN Muhyiddin Yassin menghitung hari. Bila-bila masa sahaja dia bakal disingkir daripada Umno—parti yang lebih 45 tahun dia anggotai. Dia adalah pimpinan tertinggi yang disingkir dari jawatan sejak kemelut dan skandal 1MDB. Nampaknya Muhyiddin seperti lazimnya pemimpin tinggi Umno, jadi kelok apabila hendak ke bawah.
Mungkin terlalu lama jadi pembesar. Sejak muda sudah terpilih sebagai wakil rakyat. Pada umur 35 tahun sudah jadi menteri besar. Sejak itu, tidak turun-turun lagi meniti tangga kekuasaan. Pernah pegang sampai lima kementerian sebelum jadi timbalan perdana menteri. Ketika disingkir dari jawatan TPM dan timbalan presiden Umno, umurnya juga sudah agak tua, 68 tahun.
Tapi, persoalannya bukan apa yang boleh dilakukan oleh lelaki 69 tahun, tahun ini? Persoalan lebih tepat ialah apa yang boleh dilakukan oleh seorang mantan TPM; bekas timbalan presiden Umno selain pernah pegang jawatan pengarah pilihan raya Umno dan BN?
Muhyiddin bukan pesara kakitangan awam biasa dengan gred JUSA A. Dia—macam juga Anwar Ibrahim—sama-sama pernah berada di antara puncak tertinggi kuasa dalam negara.
Apakah cukup dengan hanya sertai ceramah yang diatur segelintir kelompok Umno bawahan, maka dia sudah menyelamatkan Malaysia? Sementara, orang yang mahu mendekati Muhyiddin khabarnya makin hari makin susut juga. Bertambah-tambah apabila tiada langkah cukup aktif dari Muhyiddin sendiri. Lalu, akan pupus begitu sahajakah politik seorang Muhyiddin Yassin? Saya harap tidak.
Meski saya harap tidak, Muhyiddin tetap tampak janggal dengan parti-parti oposisi. Pentas ceramah Pakatan Rakyat tidak dia hadiri semuanya. Dia juga tidak turun ke Sarawak untuk menjelaskan kepada rakyat betapa buruknya 1MDB. Sudah tentu perihal 1MDB bukan hanya isu orang Semenanjung.
Dalam banyak suasana, Dr Mahathir Muhamad tampak lebih rajin dan konsisten. Dia ke mana-mana sahaja. Dengan sesiapa sahaja. Asal sahaja melawan PM Najib Razak, Dr Mahathir akan selalu ada.
Muhyiddin mana Muhyiddin?
Dia tampil dengan yakin. Dr Mahathir sanggup kena bu bahkan dicemuh oleh segelintir penyokong parti oposisi yang marah-marah atau masih bersarang dendam. Dr Mahathir tidak peduli itu semua. Otaknya jelas. Dia mahu menjatuhkan PM Najib—walaupun apa pun rintangan, dia harung, dia harung jua.
Ada juga yang tertanya-tanya, “Muhyiddin mana Muhyiddin?” Bukankah dia individu yang paling teruk menanggung musibah kerana menentang PM Najib? Atau budaya Umno memang sudah begitu? Begitu parahnya sehingga apabila seseorang itu tidak punya jawatan, dia jadi ibarat kain buruk. Macam ayam berak kapur. Tidak tahu bergerak. Tidak tahu turun ke tengah-tengah rakyat. Tidak tahu mengatur langkah untuk mengumpul sokongan. Jadi sumbang-mambang serba-serbi.
Saya harap tidak. Muhyiddin tidak boleh keluar rumah lewat. Dia harus segera memunculkan wajah dan peranannya yang padu. Tiada gunanya menunggu hari akan disingkir dari Umno. Tiada gunakan sayu memandang masa lalu.
Sebagai orang lama dalam PKR, apa yang saya bisa titipkan kepada Muhyiddin sebagai azimat hari muka ialah Umno bukan masa depan Malaysia. Politik perkauman dan memecah-mecahkan rakyat mengikut kaum tidak sesuai lagi untuk negeri ini—walaupun kemudiannya mereka bersatu di dalam BN.
Umno bermasalah bukan sahaja kerana pemimpinnya bermasalah, tetapi Umno bermasalah kerana parti itu mengekalkan corak politik pecah dan perintah ala penjajah ke atas rakyatnya sendiri.
Muhyiddin seharusnya sudah mula memikirkan lebih daripada hanya isu 1MDB. Tiada jalan kembali. Mungkin Dr Mahathir juga harus memikirkan perkara sama. Begitu juga dengan Muhkriz Mahathir, atau Shafie Afdal. Begitu juga dengan mana-mana pemimpin Umno yang masih ada saki baki rasa cinta kepada tanahair ini.
Sekali tokoh-tokoh itu gagal melihat politik perkauman sebagai sebab musabab yang mengekang atau yang mengikat kaki bukan sahaja kepada kaum Cina dan India, ia juga bakal banyak merugikan orang Melayu. Kalaupun benar Umno tidak ada salahnya di masa lalu, walau tidak ada setetes pun dosa, tetapi Umno tidak akan mampu menjadi parti masa depan.
Kenderaan 2.0
Perlu diulang entah sampai kapan, bahawa Umno adalah ibarat kereta 1.5 kuasa kuda. Hari ini Malaysia perlu sebuah kereta yang lebih daripada 1.5 sahaja.
Mengharapkan kereta 1.5 untuk memecut selaju 2.0 adalah kerja gila. Ia sama sahaja seperti kepercayaan mat-mat rempit yang cuba memandai-mandai ubah-suai motosikal mereka. Akhirnya dia hilang kawalan. Kenderaan yang diubah-suai selalunya lebih bahaya daripada yang asal. Matilah hujungnya. Matilah dia.
Kenderaan 2.0 hari ini adalah kenderaan yang disertai oleh semua kaum, untuk semua kaum. Orang Melayu harus jadi tunjang perpaduan menyeluruh rakyat Malaysia. Kita sudah tidak dapat menerima lagi parti yang mengaku berbilang kaum, tetapi diwakili oleh 90 peratus kaum minoriti—bukannya kaum majoriti. Tipu helah politik sebegini sewajarnya sudah berakhir lama. Perlu diakhiri sekarang.
Paling tidak, Onn Jaafar pernah menunjukkan jalan biarpun anak dan cucunya sendiri belum tentu faham apa yang cuba dilakukan dan disampaikan oleh Onn. Parti Negara adalah contoh terbaik yang pernah ada, walaupun kita juga tahu bahawa Parti Negara perlu dibunuh sehabis-habisnya oleh bangsawan istana yang menguasai Perikatan waktu itu.
Mereka rela membiarkan parti perkauman lain termasuklah DAP atau parti aliran kiri seperti parti sosialis wujud berbanding Parti Negara. DAP dan garis sosialis boleh dilawan, tetapi parti yang akan menyatukan seluruh rakyat dalam sebuah parti, andainya dibiar, sangat sukar ditawan.
Saya tidak pasti, apakah Muhyiddin sanggup sertai PKR? Seperti tidak kena untuk seorang yang pernah menjawat sehingga jawatan nombor dua dalam Umno dan pemerintahan, mahu merendah diri menyertai PKR. Sesuai atau tidak, PKR atau mana-mana parti sedia ada kepada Muhyiddin dan pemimpin Umno yang menunggu hari untuk disingkir itu tidak lagi penting. Perkara asas yang perlu diselesaikan di dalam benak fikiran mereka adalah persoalan yang lebih asas dan pokok tadi.
Persoalan itu tidak lain tidak bukan adalah kenyataan bahawa politik pecah dan perintah gaya penjajah yang diwarisi Umno-BN sudah berakhir. Satu muafakat nasional yang baru perlu diusahakan.
“Muafakat Selamat Malaysia” bolehlah dianggap permulaan kepada perpaduan kebangsaan yang baru. Hanya dengan kesedaran itu, masa depan rakyat Malaysia sama ada kaum minoriti atau majoriti dapat terjamin.
Jatuh dan bangunlah kembali dengan langkah yang benar sepertimana para pejuang bangsa terdahulu.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.

