PM: Terpulang pada mahkamah tentukan permohonan Chin Peng
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan permohonan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Chin Peng, untuk balik dan tinggal di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan permohonan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Chin Peng, untuk balik dan tinggal di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan akan menentukan tindakan selanjutnya selepas itu.
"Kita tak boleh halang dia kalau dia nak fail permohonan di mahkamah. Kalau dia ada hak... kalau dia tak ada hak, tentu mahkamah tak akan layan," katanya.
Menurut laporan Bernama Abdullah berkata demikian di Seremban ketika diminta mengulas permohonan Chin Peng yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini berhubung perkara tersebut.
Chin Peng memohon untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau dan bekas ahli PKM dibenarkan memasuki, bermastautin, berkediaman dan tinggal di Malaysia. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 82, kini tinggal di Thailand.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan pernah membuat pendirian tidak membenarkan Chin Peng balik ke Malaysia apabila isu itu timbul dahulu kerana terdapat banyak tentangan daripada pelbagai pihak.
Pada Oktober 2003, kerajaan pernah membuat keputusan muktamad tidak membenarkan Chin Peng balik, antaranya disebabkan pemimpin PKM itu masih terikat dalam satu organisasi yang diharamkan yang mengikut sejarahnya terlibat dalam keganasan.

