Lim mahu Najib bentang kertas putih 1MDB
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membentangkan kertas putih mengenai 1MDB dalam sesi parlimen minggu depan.
Kertas putih itu perlu dibentangkan bagi menyatakan pendirian kerajaan mengenai skandal melibatkan 1MDB dengan mengambil kira laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan bulan lepas, kata Lim.
Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Najib juga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga hari untuk perbahasan kertas putih kerajaan mengenai 1MDB.
Najib semalam berkata kegagalan 1MDB menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) akibat "diserang" adalah faktor utama syarikat itu berdepan masalah.
Lim ingin tahu sama ada ini adalah sebab sebenar mengapa 1MDB menjadi skandal kewangan global pertama di negara ini.
Beliau menambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengakui bahawa model 1MDB dengan modal rendah dan pinjaman besar adalah tidak mapan dari awal lagi.
"Apa dosa sebenar daripada skandal global 1MDB- Kegagalan IPO, model tidak mapan akibat modal rendah dan pinjaman besar atau sesuatu yang lebih asas, penipuan global sejak awal yang mencetuskan siasatan beberapa negara terhadap penyelewengan antarabangsa dan pengubahan wang haram AS$11 bilion bermula dari Singapura ke Amerika Syarikat?," katanya.
Lim menegaskan Malaysia berada pada kedudukan kedua oleh The Economist dalam indeks kapitalisme kroni, hanya di belakang Russia - selepas dipetik oleh laman web antarabangsa, foreignpolicy.com sebagai 'negara dunia ketiga paling buruk dengan skandal dan rasuah bagi 2015' dan contoh rasuah global kedua paling teruk pada bulan Mac oleh Majalah Time.
Perdana Menteri mendakwa wang sebanyak RM2.6 bilion adalah sumbangan politik dari Arab Saudi dan tiada kaitan dengan 1MDB.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada salah laku dengan mendakwa AS$620 juta telah dikembalikan kepada penderma yang asal.

