Selangor beku serta-merta pembangunan di kawasan sensitif
Kerajaan Selangor membuat keputusan membekukan serta-merta semua pembangunan berhampiran bukit atau kawasan sensitif yang memberi kesan kepada alam sekitar, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Kerajaan Selangor membuat keputusan membekukan serta-merta semua pembangunan berhampiran bukit atau kawasan sensitif yang memberi kesan kepada alam sekitar, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Katanya, pihak berkuasa tempatan(PBT) tidak boleh lagi meluluskan projek pembangunan di kawasan yang mempunyai kepentingan alam sekitar, termasuk di kawasan berbukit.
Berikutan itu, satu jawatankuasa teknikal pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar diwujudkan dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Ramlan Othman untuk memberi perakuan kelulusan projek pada masa akan datang.
Bernama melaporkan, jawatankuasa berkenaan akan turut meneliti pembangunan di Seksyen U10 di sini, sekitar Gombak dan Hulu Langat yang dilihat ada pembangunan di kawasan bukit dan sensitif terhadap alam sekitar, katanya.
"Semua permohonan perlu dihantar kepada jawatankuasa teknikal ini dan selagi tidak ada perakuan daripadanya, kelulusan tidak akan diberi," katanya kepada pemberita selepas menyelaras mesyuarat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama pemaju perumahan di Seksyen U10 hari ini.
Kurang kepakaran
Anggota jawatankuasa itu terdiri daripada semua ketua jabatan peringkat negeri dan persekutuan, wakil Badan Pencegah Rasuah dan polis.
Katanya, apa yang terjadi sebelum ini ialah MBSA tidak mempunyai kepakaran untuk menguatkuasakan larangan kerana kekurangan ilmu pengetahuan.
"Memang saya tidak puashati kerana pembangunan diluluskan tetapi tidak ada pemantauan dan tidak ada penguatkuasaan. Malah ketua-ketua jabatan sekali (tidak berpuashati). Sebab itu saya menegaskan kita perlu lihat di bawah dari (berada) di pejabat (sahaja). Jadi saya sudah mendapat komitmen dari semua ketua jabatan," katanya.
Ditanya sama ada isu ini menjadi satu pengajaran kepada semua PBT beliau berkata: "Sepatutnya ia menjadi pengalaman pahit kepada PBT dan mereka perlu berhati-hati bila mana mereka meluluskan satu-satu projek dan mereka perlu mengambil kira mengenai alam sekitar," katanya.

