PAS hari ini menggesa pembangkang lain tidak meletakkan calon mereka di dua pilihan raya kecil (PRK) yang bakal berlangsung di Selangor dan Perak.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan hanya memberi peluang besar bagi BN menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Sesungguhnya, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini bukan medan nak tunjuk hebat hingga yang kalah jadi abu menang jadi arang – melainkan ada yang memang bercita-cita sedemikian,” katanya.

Pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad memberi gambaran akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, PAS dan BN di Sungai Besar.

Pilihan raya itu harus diadakan susulan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter semasa kempen pilihan raya Sarawak baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menegaskan PAS akan bertempur habis-habisan terhadap BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana Kedua-dua kawasan parlimen itu kerusi tradisi mereka.

Fokus tumbangkan BN

Beliau juga menegaskan bahawa fokus pembangkang ialah menumbangkan BN.

PAS kini tidak sepakat dalam satu blok selepas perpecahan gabungan Pakatan Rakyat tahun lepas.

Parti Islam itu kini membentuk gabungan dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang diketuai bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAS) pula bergabung dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS hanya kalah tipis kira-kira 400 undi di Sungai Besar dan hanya ketinggalan kira-kira 1,000 undi di Kuala Kangsar.

Majoriti pemilih di kedua-dua kawasan itu berbangsa Melayu.