Pemimpin sosialis disekat ke Sarawak
Ramai ahli politik semenanjung dilarang masuk ke Sarawak menjelang pilihan raya negeri 7 Mei lalu.
Bagaimanapun, nasib berbeza dengan pemimpin kiri S Arutchelvan yang dikatakan disekat ke negeri itu hari ini.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekatan itu yang didakwa mencabuli hak asasi dan kebebasan bergerak dan menuntut penjelasan munasabah.
Parti itu juga mendakwa sekatan itu bermotifkan politik.
“Kerajaan negeri Sarawak perlu memberi penjelasan yang munasabah tentang perintah larangan ke atas Arutchelvan.
“PSM juga mendesak kerajaan Sarawak supaya menghentikan tindakan angkuhnya yang menghalang aktivis daripada melawat Sarawak,” kata timbalan setiausaha agungnya Choo Chon Kai.
Choo berkata Arutchelvan sepatutnya mengelolakan bengkel kesedaran hak asasi untuk masyarakat orang asal Sarawak.
Beliau memasuki Sarawak menerusi lapangan terbang Miri.

