ADUN ajak menteri 'singgah' ke Pulau Pinang
Kerajaan negeri Pulau Pinang menjemput Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan cadangan projek pembangunan tiga lebuh raya dan terowong dasar laut.
“Datang, lihatlah sendiri dan memuaskan hati beliau,” kata ahli majlis eksekutif kerajaan negeri itu, Lim Hock Seng.
Kata beliau, walaupun setelah menjawab semua pertanyaannya pada 9 Mei yang lalu, Abdul Rahman masih mengulangi soalan-soalan yang sama dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.
Lim berkata demikian sebagai mengulas tindakan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu memuat naik persoalan yang serupa dalam akaun rasmi Facebook milik Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Buletin Mutiara.
“Adalah jelas bahawa beliau tidak faham penjelasan yang dibuat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.” ujarnya.
Pada 9 Mei yang lalu, Lim memberitahu media kos sebenar untuk kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang turut melibatkan tiga lebuh raya ialah RM51.27 juta.
"Kos tersebut hanyalah 0.93 peratus daripada kos pembinaan, yang keseluruhannya berjumlah RM6.341 bilion," jelasnya.
Pada masa yang sama, Pengerusi Zenith Group of Companies yakni firma yang dianugerahkan projek tersebut, Zarul Ahmad mendedahkan beliau dan Abdul Rahman saling mengenali dan bersedia untuk membuat pembentangan projik jika itu yang beliau mahukan.
“Saya kenal Rahman Dahlan, beliau ada nombor saya, dan saya bersedia untuk membuat pembentangan projek jika beliau meminta,” kata Zarul semasa sidang akhbar bersama anggota EXCO Pulau Pinang, Lim Hock Seng di Komtar, minggu lalu.
Terdahulu, Abdul Rahman mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menjelaskan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang didakwanya mencecah RM305 juta.
Ujar Abdul Rahman, jumlah itu adalah sekali ganda daripada perbelanjaan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP itu bagi program kebajikannya untuk warga emas, ibu tunggal, bayi baru lahir dan lain-lain.

