Selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jemputan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali supaya semua parti pembangkang bersatu adalah semata-mata satu cadangan peribadi, portal pro-Umno Mykmu.net mencadangkan supaya menteri besar itu meninggalkan partinya.

Dalam kemas kini hari ini, portal itu berkata Wan Azizah sudah ‘cantas’ timbalannya dan oleh itu masa depan politik Azmin mungkin 'kelam' jika perkara seumpama itu berterusan.

“Lagipun, jika Anwar diminta untuk memilih, sudah tentu dia akan memilih untuk menyebelahi isterinya…

“Justeru, mungkin Azmin boleh mempertimbangkan cadangan supaya beliau keluar saja dari PKR dan menyertai PAS.

“Azmin sebelum ini pun berkali-kali termakan budi PAS. Budi terbesar, jika tidak kerana parti itu maka jangan haraplah dapat merasa kerusi menteri besar, bukan?” katanya.

Penulis artikel bertajuk “Azmin Ali Wajar Lompat Parti, Sertai PAS” berkata pemecatan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa kini membuat Azmin lebih 'berharga'.

“Azmin boleh ganti tempat Husam rasanya. Lagipun, PAS juga kehilangan ramai golongan profesional ketika berentap dengan Mat Sabu (bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu) tempohari.

“Mungkin Azmin boleh fikirkan cadangan itu?” katanya.

Menurut penulis, Azmin, perlu mengambil iktibar berhubung apa yang berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim, sebelum ini.

"Walau dia berada di kem Wan Azizah, akhirnya dia terpaksa dikorbankan. Azmin mahu jadi begitu nanti?

“Apatah lagi Azmin perlu berdepan dengan anak Anwar dan Wan Azizah, Nurul Izzah. Mampukah karier Azmin berkembang jika terus duduk dalam penguasaan ‘dinasti’ sebegitu?

“Rasanya Azmin tidak akan ke mana jika terus mengharap dan mengharap. Jadi Azmin fikir-fikirkanlah…,” tulisnya lagi.

Serah leher

Berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu, Azmin berkata, PAS seharusnya kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Mengulas saranan berkenaan, Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah pula menawarkan PKR supaya bekerjasama dengan parti itu dan sekutu barunya, Parti Ikatan dalam menyertai 'kuasa ketiga'.

Wan Azizah menafikan pelawaan PAS kepada PKR itu sebagai cadangan perdamaian dan berkata ia hanyalah tindak balas berhubung jemputan Azmin.

Mengulas lanjut, Mykmu.net berkata, adalah agak mustahil untuk PAS bergabung dengan Pakatan Harapan kerana ia seolah-olah menyerahkan leher mereka untuk disembelih.

“Dulu PAS sempat serah leher pada DAP, PKR. PAS hampir disembelih ketika itu.

“Namun mereka sempat menyelamatkan diri meskipun cedera parah ditikam-tikam DAP dan PKR. Malah sebahagian tubuh PAS terpaksa ‘dipotong’.

“Mungkin kini PAS masih trauma dengan apa yang berlaku. Khabarnya mereka sedang dalam ‘rawatan pemulihan’ secara intensif.

“Namun begitu, beberapa bahagian tubuhnya masih ada ‘virus-virus’ yang degil,” katanya.