Mahfuz: Tak salah PAS-AMANAH kerjasama
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata, tidak menjadi kesalahan untuk PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan perbincangan bagi merangka strategi mengalahkan BN.
Menurut Mahfuz, kerjasama PAS dan AMANAH boleh dilakukan sekiranya kedua-dua parti itu belajar daripada sejarah kerjasama pembangkang dengan Parti Melayu Semangat 46 pada 1990 dulu.
Katanya, PAS boleh bekerjasama dengan parti berkenaan walaupun ia diketuai Tengku Razaleigh Hamzah - tokoh yang pernah berkonspirasi "mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan" pada 1978.
Kata Mahfuz, kerjasama itu kemudian mewujudkan pakatan pembangkang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Katanya gagasan itu kemudian turut disertai parti BERJASA serta HAMIM yang lahir daripada krisis dalaman PAS pada 1977.
Hasil kerjasama itu, kata bekas naib presiden PAS berkenaan, gabungan pembangkang berjaya mengalahkan BN dan membentuk kerajaan di Kelantan dan kekal sehingga kini.
Rundingan mampu pulih imej
Justeru katanya PAS disaran berbincang dan bekerjasama dengan AMANAH bagi mengalahkan BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
"Salahkah kalau PAS dan AMANAH duduk berbincang dan bekerjasama untuk mengalahkan Umno (dan) BN pada pilihan raya kecil dan pilihan raya umum ke-14 akan datang?" katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Mahfuz yang pernah dilantik sebagai ketua penerangan PAS, AMANAH lahir daripada kesan pergolakan dalaman PAS apabila sebahagian ahlinya dianggap pengkhianat kepada parti berkenaan.
Namun katanya, jika kerjasama itu boleh membantu membina kembali imej PAS di persada politik Malaysia, tiada sebab untuk tidak dilakukan demi mengalahkan BN.
Pada masa sama, kata Mahfuz, tidak salah juga untuk AMANAH berbincang dengan PAS bagi mencari formula memenangi pilihan raya.
Justeru, Mahfuz berharap AMANAH dapat membuang kemarahan mereka kepada PAS, manakala PAS pula melupakan rasa geram kepada AMANAH.
PAS sebelum ini berkata mereka hanya akan berunding dengan PKR bagi memutuskan calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
PAS juga menolak sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan walaupun AMANAH dilaporkan menyatakan kesudian untuk berbincang bagi mengelak pertembungan sesama pembangkang dalam pilihan raya kecil itu nanti.

