Selepas enam bulan terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama yang menyertai kempen Write for Rights (#W4R) kelolaan Amnesty International (AI) pada 2015, kartunis politik Zunar menerima hampir 250,000 mesej dan kata-kata sokongan dari seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif Amnesty International-Malaysia Shamini Darshini menyerahkan kepadanya sebahagian kecil sokongan itu - 17,419 surat, kad, lukisan dan mesej - kepada Zunar yang turut hadir pada hari terakhir kempen berkenaan di Subang Jaya petang ini.

Mesej sokongan itu datangnya dari 26 negara - paling banyak adalah dari Belanda, Itali dan Kanada.

Ia sebahagian daripada jumlah 241,639 yang diterima termasuk petisyen dalam talian yang dikumpulkan antara Disember 2015 dan April 2016.

Zunar yang gembira menerima mesej berkenaan meluahkan rasa berterima-kasihnya kepada sokongan orang ramai sejak beliau berdepan dengan sembilan pertuduhan hasutan oleh pihak berkuasa negara ini berhubung sembilan tweet yang dibuatnya.

"Adalah sukar mempercayai untuk mendapatkan begitu banyak sokongan daripada rakan-rakan, termasuk di Twitter dan e-mel daripada begitu banyak artis dan penyanyi, semua mereka adalah orang yang kreatif," katanya.

Zunar juga melahirkan rasal kesalnya dengan tindakan kerajaan yang didakwa menindas kartun beliau.

"Jika kamu tidak suka kartun saya, ia adalah okay, tetapi jangan sekat kerja saya. Sila hormati kartun saya," katanya sambil menambah bahawa beliau akan melancarkan komik terbarunya yang bertjaku 'WASABI' - Wa Sapu Billion - Sabtu ini.

Komik itu memberi tumpuan terhadap dana RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]