Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran gagal hadir ke siasatan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini selepas dikatakan pengsan dan dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, isterinya Datuk Karthiyani Govindan, hadir sesi itu pada jam 10 pagi ini di Putrajaya, lapor New Straits Times.

Bercakap kepada media selepas itu, Karthiyani berkata beliau optimis dengan hasil siasatan terhadap syarikat yang dijenamakan sebagai penerbangan patuh syariah itu.

“Kami terima respon bagus daripada jabatan itu dan akan ada lagi sesi dengan mereka minggu depan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sijil Operasi Udara (AOC) Rayani digantung sementara buat tiga bulan selepas Rayani menghentikan operasi tanpa kebenaran DCA susulan mogok juruterbang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong sebelum ini dilapor memberi amaran bahawa AOC Rayani boleh dibatalkan jika DCA tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan.

Rayani sebelum ini berdepan pelbagai rungutan penumpang, termasuk pembatalan dan kelewatan penerbangan.

Syarikat penerbangan adalah yang pertama di negara digantung AOC bawah Peraturan 87(1) Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996.