Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indonesia bendung fahaman radikal agama
Diterbitkan:  May 12, 2016 6:30 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Kerajaan Indonesia kini berusaha keras membendung fahaman Daesh dan radikal agama daripada bertapak dalam kalangan mahasiswa republik itu yang sedang menuntut di negara ini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno berkata jika fahaman itu tidak dikawal, ia dikhuatiri akan merebak dalam kalangan mahasiswa yang merupakan golongan muda yang mudah terpengaruh.

"Kita berusaha mencegah agar generasi muda terutama mahasiswa tidak terpancing dengan fahaman itu. Generasi muda perlu tahu apa yang mereka buat.

"Mereka perlu dipupuk dengan nilai nasionalisme dan pemahaman agama yang kuat agar tidak terpengaruh dengan fahaman yang boleh membinasakan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Kukuhkan Nasionalisme Bendung Radikalisme di Universiti Utara Malaysia di Sintok hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim yang mewakili Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Herman berkata beliau yakin kerajaan Malaysia juga mampu membendung fahaman berkenaan daripada menular dalam kalangan mahasiswa dua negara serumpun itu.

"Kira-kira 7,000 hingga 8,000 penuntut Indonesia belajar di negara ini dan seminar seperti ini akan diteruskan untuk mereka dan juga mahasiswa Malaysia," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga ada mengesan beberapa individu yang cuba menarik sokongan mahasiswa untuk menyertai golongan itu atas nama jihad.

"Namun mereka ini bukan mahasiswa dan tidak sempat untuk ke Syria dan kita tahu sasaran mereka adalah golongan muda ini," katanya.

Herman berkata untuk itu juga Indonesia akan bersama kerajaan Malaysia membendung fahaman tersebut daripada bertapak di sini.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Herman berkata hasil kajian Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia mendapati gerakan militan dan pengaruh radikalisme telah berkembang dalam kalangan mahasiswa republik itu.

"Selanjutnya hasil penelitian pada 2011 yang dilakukan di lima universiti ternama di Indonesia menunjukkan adanya peningkatan pemahaman radikalisme dalam kalangan mahasiswa," katanya.

Di UUM terdapat kira-kira 800 mahasiswa republik itu yang menuntut di situ.

- Bernama

Lihat Komen
ADS