Sepasang suami isteri cedera parah selepas diserang seekor babi hutan dalam kejadian di ladang getah Felda Teloi Timur di Baling pagi semalam.

Mangsa, Halimah Abdullah, 47, berkata ketika kejadian, dia bersama suaminya Abu Seman Ani, 55, sedang menoreh getah kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Semasa kejadian itu, saya terdengar bunyi bising dan bila pergi ke arah bunyi itu saya lihat seekor babi besar cuba datang menyerang saya.

"Saya tidak sempat lari dan terpaksa bergelut dengannya. Suami saya juga turut membantu tetapi diserang sehingga pengsan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kata Halimah dia dapat melepaskan diri setelah memukul babi hutan itu dengan pisau menoreh getah.

Pasangan suami isteri itu kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Parit Panjang di Baling.

Halimah menerima 30 jahitan manakala suaminya tujuh jahitan di beberapa bahagian tangan, paha dan betis.

- Bernama