Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor tak hadir mesyuarat Majlis Raja-raja kerana ada majlis lain

Ketidakhadiran wakil Istana Johor pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-241 di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam disebabkan terdapat majlis istiadat di Istana Besar negeri berkenaan.

Menurut sumber rasmi kerajaan negeri, tiada wakil pada mesyuarat berkenaan kerana hampir semua pihak terbabit dengan Majlis Istiadat Pertukaran Panji-Panji Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) di Dataran Istana Besar.

Majlis istiadat diadakan pada waktu sama dengan mesyuarat tersebut berlangsung, kata sumber itu lagi.

"Semua pihak terlibat dengan majlis istiadat itu kerana majlis tersebut tidak selalu diadakan dan ia acara penting," katanya kepada Malaysiakini.

Antara yang berkenan berangkat pada majlis itu adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yangdiiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Pertukaran Panji TSN Johor itu adalah yang ketiga dalam sejarah 130 tahun penubuhan pasukan berkenaan yang diasaskan pada 1886.

Penganugerahan panji pertama dilakukan pada 11 Mei 1916 sempena ulang tahun ke-30 TSN Johor sebelum pertukaran kedua pada 20 Ogos 1986 sempena 100 tahun pasukan berkenaan.

Bernama hari ini melaporkan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-241 di Istana Negara di Kuala Lumpur pada Rabu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama sehari itu dihadiri semua raja Melayu kecuali Johor yang tidak menghantar wakilnya.

Pada mesyuarat yang bermula 11.15 pagi itu, raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing kecuali Kelantan yang diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Semua Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir pada mesyuarat itu dengan diiringi Ketua Menteri masing-masing manakala Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS