Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang pernah mencetuskan kontroversi kerana dilihat menentang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu projek penambakan laut kini mula ditekan untuk mengubah pendirian mereka.

Wakil-wakil rakyat PKR yang memutuskan untuk berkecuali berhubung usul oleh Umno mengenai projek penambakan laut pada sidang DUN Pulau Pinang pada November yang lalu ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Dr T Jayabalan (Batu Uban).

Difahamkan bahawa ketegangan berada di tahap tertinggi semasa mesyuarat pra-majlis antara Lim dengan 30 ADUN Pakatan Harapan di pejabat Komtar tingkat 28 ketika membincangkan isu kontroversi tersebut.

Sumber mendakwa, lima ADUN PKR itu diberi kata dua sama ada patuh dengan kehendak kerajaan negeri atau dilabel sebagai bertanggung jawab atas pepecahan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Mereka juga berisiko dinyahkan daripada menjadi sebahagian kerajaan negeri Pulau Pinang, kata sumber itu.

“Ini merupakan pertembungan paling besar antara DAP dengan PKR di Pulau Pinang, semuanya atas meja,” menurutnya mengenai apa yang berlaku dalam mseyuarat selama dua jam tersebut.

Namun, wujud petanda yang kuat untuk kelima-lima ADUN PKR itu untuk tidak berganjak dari pendirian mereka.

Mereka sebelum ini mendakwa memilih untuk berkecuali menentang usul Umno itu kerana "mengikut suara hati" ekoran melibatkan isu alam sekitar yang rumit.

Ketika ditanya, Norlela berkata, selepas mesyuarat pra-majlis dengan Lim itu, beliau masih tetap dengan keputusan menuruti kehendak pucuk pimpinan PKR dalam isu tersebut.

“Kami akan buat yang terbaik untuk rakyat negeri Pulau Pinang,” Norlela memberitahu Malaysiakini.

Khai Loon pula menambah, partinya belum membuat sebarang keputusan tetapi akan dimaklumkan mengenai butiran kesan penambakan laut di negeri berkenaan.

“Walaupun parti mungkin mempunyai keputusannya, kami sebagai wakil rakyat yang dipilih juga harus menyatakan pendirian,” kata Khai Loon lagi.