Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
VK Lingam rayu keputusan Lembaga Tattertib Peguam
Diterbitkan:  May 12, 2016 10:10 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Bekas peguam kanan Datuk VK Lingam, yang muncul dalam rakaman video kontroversi berhubung pelantikan hakim-hakim, mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang menghalangnya daripada menjalankan amalan guaman.

Lingam memfailkan rayuan itu melalui usul pemula pada 15 Dis 2015, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan V K Lashmi & Co dengan menamakan Majlis Peguam sebagai responden.

Media memperoleh salinan dokumen usul pemula itu hari ini dan kes akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Hanipah Farikullah pada 17 Okt.

Dalam usul pemula itu, Lingam memohon mahkamah mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang dibuat pada 6 Nov 2015 dalam mengesahkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib bahawa beliau berkomplot dengan pelbagai pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi pelantikan hakim-hakim.

Lingam juga memohon untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib melalui laporan bertarikh 20 Feb 2014 yang memutuskan bahawa beliau didapati bersalah atas pertuduhan mengganggu atau mempengaruhi pelantikan hakim iaitu pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya dan pengesahannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu.

Lingam, antara lain memohon untuk mengetepikan keputusan jawatankuasa itu yang menggantungnya daripada menjalankan amalan sebagai peguam bagi tempoh setahun selain turut didenda RM20,000 atas kesalahan berkenaan.

Pada 20 Mei, 2008, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengemukakan beberapa syor berhubung rakaman video itu yang didakwa menyentuh pelantikan hakim-hakim oleh Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin serta Ahmad Fairuz.

Dalam laporan itu, panel lima anggota RCI membuat kesimpulan klip video itu adalah tulen, dan Lingam ialah orang yang terlibat dalam perbualan dengan Ahmad Fairuz berkaitan pelantikan hakim-hakim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS