Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan pilihan raya kecil untuk kawasan parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan dijalankan serentak pada 18 Jun ini.

Bagi tarikh penamaan calon pula SPR menetapkan ia diadakan pada 5 Jun.

Bercakap di sidang media di Putrajaya hari ini Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah (gambar) berkata keputusan itu diambil selepas mereka bermesyuarat sebentar tadi.

"SPR memutuskan dua pilihan raya kecil itu akan dijalankan serentak.

"Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun manakala pengundian awal pada 15 Jun," katanya.

Kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar diisytihar kosong selepas kedua-dua penyandangnya meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Ahli parlimen Kuala Kangsa sebelum ini ialah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad manakala Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon.

Dengan keputusan itu bermakna SPR memberi ruang berkempen selama 14 hari kepada semua calon yang bertanding di kedua-dua kerusi parlimen.

Untuk Sungai Besar, ada 42,365 pemilih berdaftar termasuk 286 daripada mereka tergolong sebagai pengundi awal.

Di Kuala Kangsar pula SPR menyenaraikan 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 orang daripadanya pengundi awal.

Mohd Hashim berkata kedua-dua PRK itu dikendalikan dengan menggunakan kos sebanyak RM2.7 juta.

Dalam pilihan raya umum 2013 Wan Mohammad Khair-il mengalahkan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan bekas pemimpin Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim dengan majorti 1,082 undi.

Noriah pula menguasai kerusi Sungai Besar dengan mengetepikan Mohamed Salleh Husin (PAS) dengan kelebihan 399 undi.

Lihat Komen
ADS