PAS mengeluarkan arahan tutup mulut daripada mengulas isu berkaitan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata arahan itu dikeluarkan oleh mesyuarat anggota jawatankuasa pusat parti itu dalam mesyuarat malam tadi.

“PAS Selangor menghormati keputusan ini dan akan mengarahkan pimpinan dan ahli-ahlinya mematuhi arahan ini,” katanya yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Berkaitan kenyataan pemimpin PAS sebelum ini pula, PAS Selangor menganggapnya sebagai kenyataan peribadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan pilihan raya kecil untuk kawasan parlimen itu akan dijalankan serentak pada 18 Jun ini.

Kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar diisytihar kosong selepas kedua-dua penyandangnya meninggal dunia dalam kemalangan helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

PAS kalah tipis di Sungai Besar dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti kira-kira 400 sahaja. Manakala di Kuala Kangsar, mereka hanya ketinggalan kira-kira 1,000 undi.

PAS sudah mengumumkan akan berdepan dengan BN di kedua-dua kerusi itu.

Bagaimanapun, kemungkinan pertembungan tiga penjuru dengan pembangkang lain masih ada, terutama serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).