MP Jelebu stabil selepas pembedahan
Anggota Parlimen Jelebu Datuk Zainuddin Ismail yang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau menjalani pembedahan akibat ketumbuhan dalam otak.
Ketua Umno bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata pembedahan yang dijalankan ke atas Zainuddin di HKL itu berjalan lancar dan selamat.
"Selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan otak hampir empat jam di bilik bedah, Zainuddin menunjukkan respons yang baik walaupun masih belum sedar.
"Kini dia (Zainuddin) sedang berehat dan saya mendoakan semoga Zainuddin cepat sembuh dan kembali sihat seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Terdahulu, Zainuddin dikejarkan ke Hospital Jelebu selepas tidak sedarkan diri di rumahnya tengah hari tadi sebelum dihantar ke HKL untuk menjalani rawatan lanjut.
- Bernama

