Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN dicadang tanding satu kerusi saja
Diterbitkan:  May 14, 2016 3:58 PM
Dikemaskini: May 15, 2016 5:59 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak hari ini mencadangkan supaya gabungan pembangkang itu hanya bertanding di satu kerusi - sama ada Kuala Kangsar atau Sungai Besar - dalam pilihan raya kecil (PRK) bulan depan dan memberi peluang kepada PAS untuk bertanding di kerusi yang lain.

Dalam satu kenyataan, HARAPAN Perak berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat majlis pimpinan negeri semalam.

"Cadangan sedemikian adalah bukti keikhlasan Pakatan Harapan untuk memastikan satu lawan satu dalam kedua-dua PRK tersebut," katanya sambil menambah bahawa ia demi memastikan kemenangan untuk rakyat.

Menurutnya lagi, semua komponen Pakatan Harapan berjanji akan menggerakkan semua jentera pilihan raya parti masing-masing untuk memastikan kemenangan rakan dalam Pakatan seandainya wakil Pakatan diberi peluang untuk bertanding sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar.

Sebagai persiapan menghadapi PRK itu bulan depan, Pakatan Harapan Perak telah menubuhkan jawatankuasa kerja PRK Kuala Kangsar yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Anggota lain jawatankuasa tersebut termasuk Ahli Parlimen PKR Lumut, Laksamana Imran dan ADUN DAP Tronoh, Yong Choo Kiong.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong ekoran penyandang kerusi berkenaan, Datuk Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan hari penamaan calon telah ditetapkan pada 5 Jun dan pengundian pada 18 Jun.

Pakatan Harapan masih belum mengumumkan parti komponen mana yang akan meletakkan calon bertanding dalam PRK tersebut.

Dalam pilihan raya umum ke-13, PAS bertanding dan kalah kepada Umno di kedua-dua kerusi berkenaan apabila parti itu masih bersama dengan Pakatan Rakyat ketika itu.

Lihat Komen
ADS