Seorang ahli Parlimen DAP hari ini menuntut permohonan maaf dari Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana didakwanya gagal menepati janjinya untuk melaksanakan pembaharuan Parlimen.

Ia berhubung dengan penangguhan sesi baru soal jawab menteri, yang pada mulanya dijadualkan dilaksanakan dalam sesi Parlimen mulai 16 Mei hingga 26 Mei, seperti yang dilaporkan pada hari Khamis.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berkata, sekitar setahun lalu, Pandikar telah mencabarnya dan ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, mengosongkan kerusi mereka jika pembaharuan yang dijanjikan dilaksanakan pada awal tahun ini.

Lim bertanya sama ada Pandikar akan memohon maaf kepada mereka "atau adakah beliau masih mahu kami meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen kerana beliau telah gagal menepati janji-janjinya?".

Dilaporkan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosmee Hamzah dalam surat kepada ahli Parlimen, yang dilihat oleh Malaysiakini, berkata ia ditangguhkan kerana tidak cukup masa untuk dilaksanakan.

Surat bertarikh 11 Mei itu menyatakan bahawa Pandikar telah membuat keputusan itu kerana jangka masa bagi persediaan merangkumi taklimat, latihan dan simulasi masa sesi itu, terlalu singkat.

Sei soal jawab menteri hanya akan dilaksanakan pada sesi Parlimen pada 17 Oktober hingga 24 November.

Lim, dalam mengulas penangguhan tersebut bertanya sama ada ia satu lagi alasan "lembik" oleh Speaker untuk menyelamatkan Najib dan kabinetnya daripada disoal ahli Parlimen pembangkang, terutamanya yang melibatkan hutang 1MDB.

Beliau juga menegaskan bahawa bahagian paling penting daripada empat penambahbaikan Parlimen yang asalnya dicadangkan Speaker tahun lalu; sebuah jawatankuasa terpilih bagi menimbang rang undang-undang, telah pun ditolak oleh kabinet Najib awal tahun ini.

Pelaksanaan pewujudan kamar khas, satu lagi komponen pembahagian Parlimen, bagaimanapun akan diteruskan pada sesi Parlimen yang akan datang ini.

Di bawah pembaharuan Parlimen itu, notis untuk mengemukakan soalan untuk jawapan lisan atau bertulis daripada kerajaan juga telah dipendekkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

[Baca berita penuh]