Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada parti lain yang ingin meletakkan calon di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya ‘mengukur baju di badan sendiri’.
Katanya, PAS mempunyai sokongan yang kuat di kedua-dua kawasan berkenaan dan parti Islam itu akan meletakkan calon mereka di situ.
“Sepatutnya semua pihak yang inginkan perubahan di negara ini menghormati kedudukan PAS. Jangan nak berebut.
“PAS berpijak di bumi nyata di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Sepatutnya mereka (parti yang ingin bertanding) mengukur baju di badan sendiri,” kata Hadi seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu bertegas bahawa parti serpihan PAS itu turut akan meletakkan calon di kedua-dua kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut MP Marang itu berkata, PAS mempunyai pengalaman dalam bertanding di kawasan itu sejak 1959, malah ketika PRU13 hanya kalah tipis dengan BN.
“Oleh itu kita tidak mempunyai masalah untuk masuk di kawasan ini. Bahkan undi kita semakin meningkat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Hadi turut mengakui sekiranya Pakatan Harapan meletakkan calonnya di kerusi itu boleh memecahbelahkan undian.
“Tidak dinafikan, yang penting kita dapat menggerakkan jentera pilihan raya,” katanya.
