Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Jika AMANAH letak calon, BN akan menang

PAS berharap pakatan pembangkang tidak akan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, 18 Jun ini, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata sekiranya pilihan raya kecil berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru ia agak sukar bagi pihak pembangkang untuk mencapai kemenangan.

"Jikalau Parti Amanah Negara (Amanah) atau parti lain meletakkan calon, ia hanya akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan di situ.

"Cuma PAS ini, kita tidak ada hak untuk menyekat kerana (negara) kita mengamalkan sistem demokrasi, tetapi kita mengharapkan Amanah atau parti lain tidak meletakkan calon, biarlah satu lawan satu," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke-36 di Yayasan An Nahdoh, Kubang Semang di Bukit Mertajam hari ini.

Tuan Ibrahim berkata sebelum wujudnya pakatan pembangkang, kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, secara tradisinya ditandingi PAS.

"PAS telah mengisytiharkan lebih awal bahawa kita akan kekal di kerusi tersebut. Sudah tentu kita mengesyorkan PAN atau parti pembangkang lain tidak bertanding pada pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana jika ada pertandingan tiga penjuru, ia hanya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.

Mengulas berhubung persiapan menghadapi pilihan raya kecil berkenaan, Tuan Ibrahim berkata PAS sudah bersiap sedia dengan jentera operasinya.

"Kita sudah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan PAS sudah membentuk jawatankuasa induk dan jawatankuasa operasi. Di Kuala Kangsar, jentera pilihan raya akan diketuai oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad manakala di Sungai Besar, pengarahnya adalah Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad," katanya.

Beliau berkata Majlis Syura PAS telah menerima senarai empat calon bagi pilihan raya kecil Sungai Besar dan tiga calon bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Majlis Syura parti akan menelitinya sekiranya ada senarai calon baharu yang dikemukakan kepada PAS pusat.

Di TAIPING, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu sedia untuk menentang Parti Amanah Negara (Amanah) sekiranya ia meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu.

"Kalau mereka hendak bertanding kita akan lawan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak.

Mohd Amar berkata PAS negeri telah menyenaraikan enam nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan ditentukan PAS Pusat.

"Semua enam nama ini merupakan anak tempatan dan calon yang sesuai akan ditentukan oleh PAS Pusat," katanya.

Mohamad Amar berkata PAS berhasrat untuk membuat kejutan di kedua-dua PRK berkenaan yang menjadi kerusi tradisi parti itu sejak 1959.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Nooriah Kasnon yang juga Anggota Parlimen Sungai Besar dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS