Wan Azizah mahu Parlimen bahas laporan PAC mengenai 1MDB
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membentangkan usul menggesa Dewan Rakyat membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung siasatan ke atas 1MDB.
Usul itu disenaraikan sebagai No 11 daripada 15 usul yang disenaraikan dalam Kertas Perintah untuk perbahasan di Dewan Rakyat.
Wan Azizah yang juga MP Permatang Pauh berkata Speaker telah berkata pada 7 April bahawa Parlimen mungkin membahaskan laporan PAC dalam sesi akan datang.
Oleh itu, beliau mahu perkara itu dibahaskan di dalam Dewan.
Beliau berkata PAC telah menyenaraikan pelbagai kelemahan dan kekangan yang dihadapi oleh syarikat dana milik negara itu, manakala tujuh negara turut menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang menyelubungi 1MDB.
Negara-negara itu termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Luxembourg, Hong Kong, Australia dan Switzerland.
Sesi baru sidang Parlimen bermula hari ini sehingga 26 Mei.

