Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ucap terima kasih, TPM janji perbaiki skim perguruan

Kejayaan yang dinikmati banyak pihak kini adalah hasil titik peluh para guru yang amat berdedikasi dalam mengutamakan kejayaan pelajar mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Mengimbau kenangan semasa beliau menjadi seorang pelajar, perdana menteri berkata guru-guru sentiasa amat tegas, namun ketegasan mereka penuh dengan kasih sayang dalam membentuk sahsiah pelajar.

"Kejayaan pelajar adalah kejayaan mereka, dan kini ramai golongan berjaya adalah hasil titik peluh guru-guru yang amat berdedikasi dan sentiasa meletakkan pembelajaran dan perkembangan pelajar sebagai yang paling utama.

"Sempena Hari Guru hari ini, sama ada kita telah berpuluh tahun meninggalkan perkarangan sekolah ataupun masih menelaah dalam bilik darjah, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan golongan pendidik ini.

"Terima kasih cikgu, dan selamat Hari Guru!," katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Sambutan Hari Guru diraikan pada 16 Mei setiap tahun.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius kepada skim perkhidmatan guru sedia ada bagi memastikan skim perkhidmatan profesion itu menjadi lebih baik.

Katanya, Timbalan perdana menteri berkata pemberian pelbagai bentuk pujian dan pengiktirafan kepada golongan guru melalui sambutan Hari Guru setiap tahun tidak memadai dalam menghargai sumbangan golongan pendidik.

Sebaliknya kebajikan mereka perlu diberi perhatian dengan memberi kepedulian kepada skim perkhidmatan golongan guru, katanya.

"Saya yakin dengan menteri pendidikan sekarang yang berlatar belakangkan guru, sila lakukan sesuatu yang terbaik untuk rakan-rakan guru," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau yakin penambahbaikan skim sedia ada boleh dilakukan apabila ekonomi negara pulih kelak.

Ahmad Zahid juga menyarankan agar Kementerian Pendidikan mula melihat secara serius kurikulum silang budaya sebagai subjek di peringkat sekolah rendah dan prasekolah bagi mewujudkan persefahaman budaya, agama dan kaum yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara ini.

Katanya melalui subjek silang budaya yang dididik daripada peringkat persekolahan rendah itu, semangat perpaduan sebenar dapat dipupuk dan dimantapkan dalam kalangan rakyat negara ini.

Ahmad Zahid berkata kajian indeks perpaduan yang dilaksanakan kementerian pendidikan pada tahun 2014 mendapati indeks interaksi antara guru dan pelajar berada pada tahap 6.9 yang bermaksud interaksi antara guru dan murid adalah erat namun keupayaan guru dan murid untuk menerima perbezaan kaum, budaya dan agama masih pada tahap rendah.

"Saya menyarankan kementerian pendidikan mula melihat dengan serius kurikulum silang budaya diberi fokus bagi mewujudkan perpaduan yang sebenarnya, bukan hanya dalam kelas tetapi juga di luar sekolah," katanya.

Mengambil contoh hasil pemerhatian beliau sendiri di universiti, Ahmad Zahid berkata interaksi antara kaum, budaya dan agama di institusi pengajian tinggi masih rendah dengan setiap kaum lebih cenderung dan selesa bercampur dengan kaum masing-masing.

Beliau juga yakin melalui pelbagai transformasi dalam sistem pendidikan negara, ditambah dengan komitmen tinggi para guru, tenaga kerja mahir tempatan dapat mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan yang akan diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020.

Sistem pendidikan hari ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan Malaysia meningkatkan kadar literasi pelajar sekolah rendah kepada 99 peratus dan kemasukan ke sekolah rendah ke tahap 97.9 peratus, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS