Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'K'jaan tak perlu beri sebab halang Maria ke luar negara'

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan tidak perlu memberikan sebab untuk menghalang Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah daripada meninggalkan Malaysia.

“Ia adalah kuasa diberikan di bawah Akta Imigresen, kami tidak perlu menerangkan kenapa ... Kami tidak perlu memberikan sebab,” beliau memberitahu wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Terus diasak mengenai hal yang sama, Nur Jazlan mengelak untuk mengulas lanjut mengenai tindakan kerajaan untuk tidak membenarkan Maria daripada melawat luar negara.

Semalam, Maria tidak melepasi pintu imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur daripada berlepas ke Korea Selatan.

Beliau dijadualkan menerima Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju bagi pihak gabungan itu.

"Tiada penjelasan diberikan kecuali bahawa ia adalah arahan Putrajaya," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

Anugerah Hak Asasi Manusia Gwangju adalah satu anugerah oleh Yayasan Memorial 18 Mei Korea Selatan sebagai mengiktiraf mereka yang memajukan hak asasi manusia, demokrasi dan keamanan.

BERSIH telah dipilih sebagai penerima bersama anugerah itu tahun ini, dengan aktivis Vietnam Nguyen Dan Que.

Sebelum ini, Maria tidak pernah dilarang daripada meninggalkan Malaysia sebelum ini dan telah pergi ke New York, Geneva dan London sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei.

Lihat Komen
ADS