Batal pindaan akta SKMM, kata kumpulan hak asasi
Kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan membatalkan rang undang-undang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) yang akan dibentangkan di persidangan parlimen kali ini.
Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) dalam satu kenyataan hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) khususnya membatalkan cadangannya yang mengancam kebebasan internet.
Suruhanjaya itu sebaliknya perlu mengamalkan ketelusan dalam melaksanakan mandat dan dasar matlamatnya, kata kumpulan itu.
"Jika kerajaan berkeras membentangkan pindaan yang dicadangkan terhadap AKM, Hakam menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mendedahkan rang undang-undang yang dicadangkan dengan masa yang mencukupi kepada masyarakat awam untuk memberi pandangan sebelum rang undang-undang itu diteliti dan dibahaskan di Parlimen," katanya.
Kumpulan itu juga menegaskan pindaan kepada akta itu belum didedahkan kepada umum.
"Hakam takut pindaan yang dicadangkan kemungkinan besar akan mempunyai kesan terhadap kebebasan bersuara di atas talian," kata Hakam, memetik bagaimana kerajaan campur tangan dengan kebebasan bersuara dalam tempoh dua tahun lepas.
Tahun lepas, sejumlah 1,263 laman web disekat oleh SKMM manakala dua bulan pertama tahun ini menyaksikan 399 laman web disekat.
Walaupun Hakam mengakui bahawa laman web berunsur lucah, pelacuran dan perjudian adalah sah disekat, ia mengeluh mengenai ketelusan SKMM untuk mewajarkan menyekat laman web lain.
Sementara itu, gabungan yang terdiri daripada badan bukan kerajaan menggesa penggubal undang-undang menolak pindaan tersebut.

